TAWARAN ganjaran RM50 daripada jurulatih menjadi pembakar semangat buat atlet tenpin boling Sarawak, Abg Yahya Abg Azhar dan Nur Syazwani Marais, untuk meraih pingat emas dalam acara beregu TPB4+TPB4 (kecacatan intelektual) pada Sukan Para Malaysia (Para Sukma) 2024 pada Khamis.
Duo dari Bumi Kenyalang itu ketinggalan pada permainan keempat sebelum dicabar oleh jurulatih Myron Khoo Hock Ming untuk mengejar semula lawan dengan tawaran ganjaran sebanyak RM50.
Abg Yahya berkata, dorongan tersebut membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengakhiri pertandingan enam permainan itu dengan 2,244 jatuhan pin.
"Semasa ketinggalan mata, saya telah dicabar oleh jurulatih (Myron). Dia cakap jika kami dapat mengejar semula pihak lawan dan melakukan permainan sempurna dia akan berikan RM50.
"Selepas cabaran itu, saya terus memberi fokus semasa perlawanan dan meraih kejayaan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Abg Yahya, 26, yang pernah mewakili negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa, berkata penglibatannya dalam sukan boling bermula sejak beliau berumur 12 tahun."Cikgu di sekolah yang mula ajak saya menyertai sukan boling, selepas itu saya meneruskan latihan dengan pak cik saya,” katanya.
Pingat perak dimenangi pasukan Selangor yang diwakili Muhammad Danial Azrai Zulkifly dan Muhammad Hazmi Khairil Azri dengan 2,188 jatuhan pin, manakala gangsa turut dimenangi Selangor menerusi Eliyana Johari dan Syed Umar Syed Abdullah Thani (2,111 jatuhan pin).
Tenpin boling menawarkan 20 pingat emas pada Para Sukma 2024.- Bernama