Tiada lagi beg plastik di 8,000 premis perniagaan mulai 1 Oktober

Iklan
Kor Ming. Foto Bernama

PETALING JAYA - Sebanyak 20 pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka, serta kedai rangkaian farmasi, kesihatan dan kecantikan akan menghentikan penggunaan beg plastik sepenuhnya di 8,000 premis perniagaan mereka bermula 1 Oktober ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, antara yang menyertai inisiatif itu ialah 99 Speedmart, Aeon, 7-Eleven, TF Value Mart dan Guardian.

Iklan
Iklan

"Ada yang sudah melaksanakan inisiatif ini, tetapi pada hari ini mereka menandatangani Akujanji untuk berikrar melaksanakannya secara besar-besaran mulai minggu depan. Sekiranya pelanggan tidak membawa beg sendiri, mereka boleh membeli beg kitar semula di kedai itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen 'Tiada Beg Plastik Sekali Guna' di sini pada Khamis.

Iklan

Kor Ming berkata, menerusi pelaksanaan inisiatif itu, penggunaan 200 juta beg plastik setahun dijangka dapat dikurangkan, sekali gus mengurangkan jumlah sisa yang perlu dilupuskan serta membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa menanggung kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang tinggi iaitu sebanyak RM2 bilion setahun dan sedang berusaha mengurangkan pergantungan ke atas tapak pelupusan.

Iklan

"Pada masa ini, Malaysia mempunyai 114 tapak pelupusan tidak sanitari dan 22 tapak pelupusan sanitari. Pembukaan dan naik taraf tapak pelupusan memerlukan kos yang sangat tinggi," katanya.

Sementara itu Kor Ming berkata, Hari Cuci Malaysia yang akan dilaksanakan di seluruh negara pada Sabtu ini bakal tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai program gotong-royong paling besar dalam sejarah.

"Lebih 50,000 orang dari seluruh negara dijangka hadir, termasuk penyertaan 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan saya harap seluruh rakyat Malaysia dapat bersama-sama dalam program itu," katanya.

Kor Ming berkata, majlis pelancaran akan dirasmikan beliau bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa di Pasar Seni, Kuala Lumpur bersempena World Cleanup Day 2024. - Bernama