Isi ikan hancur akibat dibom

Iklan
Sebanyak 400 kg ikan ditinggalkan kumpulan individu dipercayai ditangkap dengan kaedah bom ikan.

KOTA KINABALU - Organ dalaman ikan hancur dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom antara kegiatan yang dikesan dilakukan sekumpulan individu di perairan Pulau Sepanggar di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, empat lelaki berjaya meloloskan diri dengan terjun ke laut bagi mengelak ditangkap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Iklan
Iklan

Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, rampasan itu dibuat ketika anggotannya menjalankan pemantauan di perairan tersebut.

Bot yang ditinggalkan kumpulan individu yang nekad terjun ke laut di perairan Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu.

"Sebuah bot pancing dikesan dan bot maritim cuba merapati bot berkenaan tetapi disedari kumpulan individu tersebut sebelum mereka bertindak terjun ke laut lalu berenang ke ke kawasan darat berhampiran.

Iklan

"Hasil pemeriksaan pada bot yang ditinggalkan, terdapat 400 kilogram ikan pelbagai spesies dipercayai dibom.

"Siasatan awal pada sampel ikan itu juga mendapati organ dalaman telah hancur disyaki impak daripada aktiviti mengebom," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Keadaan organ dalaman ikan hancur dipercayai akibat aktiviti bom ikan di perairan Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu.

Iklan

Che Engku Suhaimi berkata, bot dan ikan yang ditemui dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM50,000.

Beliau dalam pada itu memberi amaran keras kepada pihak yang melakukan aktiviti mengebom ikan bahawa tindakan tegas akan diambil kerana ia adalah satu kesalahan yang serius.

"Aktiviti itu memberi kesan buruk kepada ekosistem laut dan menyebabkan habitat hidupan laut semakin terjejas.

"Komuniti maritim dinasihatkan tidak melakukan aktiviti menangkap ikan dengan kaedah yang menyalahi undang-undang," katanya.