PRK Mahkota: Polis sahkan calon BN tiada rekod sabitan jenayah

Iklan
SYED HUSSIEN

KLUANG - Polis mengesahkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah tidak mempunyai rekod sabitan jenayah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sebelum itu pihaknya mengesan pautan tular di media sosial mengenai dakwaan isu calon BN dipercayai mempunyai rekod jenayah.

Iklan
Iklan

"Hasil semakan mendapati penama Syed Hussien Syed Abdullah tidak mempunyai rekod sabitan jenayah di bawah kesalahan boleh daftar dalam konteks Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

"Siasatan yang dijalankan bersabit kes dinyatakan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan diarahkan agar ke di 'no further action' atau tiada tindakan lanjut.

Iklan

"Tiada mana-mana pihak yang dituduh dalam kes berkenaan termasuk penama yang telah dinyatakan," katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.

Justeru Bahrin mengingatkan semua parti politik berkempen secara sihat dan tidak mengeksploitasi isu agama, raja dan kaum atau membuat kenyataan palsu terhadap individu lain.

Iklan

"Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau mudah percaya dengan kenyataan palsu tanpa disahkan kesahihannya.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan kerisauan kepada orang awam," ujarnya.

Sebelum itu, Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin mendakwa calon BN bagi PRK DUN Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah mempunyai rekod jenayah.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Che'gu Bard berkata, Syed Hussien harus memberikan penjelasan berkenaan laporan polis yang dibuat terhadapnya berkaitan kes gaduh dan mencederakan.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

DUN Mahkota yang terletak di dalam Parlimen Kluang memiliki keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar, dengan 20 pusat mengundi biasa akan dibuka pada Sabtu ini.