'Parlimen tidak perlu dibubar, prestasi ekonomi negara makin baik'

Iklan
Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, cadangan pembangkang supaya Parlimen dibubarkan dengan segera adalah tidak berasas berikutan pertumbuhan ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi yang baik ketika pentadbiran Kerajaan MADANI.

Beliau berkata, kekuatan ringgit juga dapat dilihat apabila mencecah paras RM4.12 berbanding dolar Amerika Syarikat hari ini.

Iklan
Iklan

"Bukan satu faktor sahaja Malaysia menjadi mata wang berprestasi terbaik di rantau ini. Banyak faktor yang menyumbang kepada ringgit semakin kukuh. Rizab Bank Negara telah meningkat kepada AS$117.6 bilion... jadi ini menunjukkan kita ada pertumbuhan dalam eksport bersih dan aliran masuk modal asing.

"Kita nampak inflasi juga terkawal... pada bulan Ogos, inflasi telah menurun kepada 1.9 peratus. Ini membuktikan bahawa rasionalisasi subsidi diesel tidak memberi kesan yang serius terhadap inflasi serta kejayaan strategi kerajaan," katanya.

Iklan

Nie Ching berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Pakej Tajaan kepada Pasukan Perlumbaan Dron Malaysia sempena Kejohanan Perlumbaan Dron Dunia 2024 anjuran Federation Aeronautique Internationale (FAI) di sini.

Beliau berkata, pelabur asing juga terus menjadi pembeli bersih dalam pasaran saham Malaysia dan disokong oleh prestasi eksport negara yang semakin memberangsangkan.

Justeru, Nie Ching berkata semua pihak harus memberi sokongan kepada Kerajaan MADANI ketika prestasi ringgit semakin kukuh dan ekonomi negara dilihat mempunyai tanda-tanda positif.

Iklan

"Saya tidak nampak sebarang sebab pihak pembangkang hendak gesa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk bubar Parlimen. Rakyat telah membuat keputusan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022, jadi saya harap semua akan terus beri sokongan kepada Kerajaan MADANI.

"Ini sebenarnya masa untuk terus beri fokus kepada isu ekonomi supaya akhirnya tidak lama lagi rakyat menikmati hasil daripada ekonomi yang semakin baik," katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris mencabar Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen dengan segera untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Nie Ching, yang juga Ketua Wanita DAP, turut menasihati semua pihak yang terlibat dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota supaya menggunakan platform media sosial dengan beretika.

"Jangan memainkan isu agama dan perkauman kerana keharmonian masyarakat adalah aset penting untuk Malaysia terus menarik perhatian pelabur asing.

"Johor merupakan antara negeri yang banyak pelabur asing berminat untuk datang, jadi adalah sangat penting untuk kita menunjukkan kestabilan politik dalam Kerajaan Negeri Johor juga dengan menghantar mesej positif," katanya.

PRK DUN Mahkota pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional, Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas. - Bernama