MERSING - Bapa kepada mangsa yang maut setelah dipijak seekor gajah di Felda Tenggaroh 5, dekat sini pada Khamis melaporkan bahawa anaknya, Mohamad Syafik Yakob, telah dikejar dan dilambung ketika diserang oleh haiwan liar tersebut pada pagi tadi.
Yakob Md Yusof, 65, berkata, bahawa dia diberitahu mengenai kejadian tragis yang menimpa anak bongsunya yang berusia 31 tahun itu ketika berada di rumahnya sekitar jam 11 pagi.
"Penduduk datang memberitahu bahawa anak saya dipijak gajah, dan saya segera bergegas ke lokasi kejadian.
"Namun, setibanya di sana, dia tidak sedar tetapi sempat membuka matanya sekejap sebelum menutupnya semula,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Tenggaroh Timur 1 pada Khamis.
Yakob berkata, ketika serangan gajah itu, anaknya bersama dua lagi rakannya, cuba menghalau haiwan liar itu daripada mendekati kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Tenggaroh 5 di sini.
Seorang rakannya iaitu Zalini Dahlan, 51, turut cedera pada bahagian kepala, pendarahan dalam perut dan patah tulang pinggul akibat diserang haiwan itu, manakala seorang sempat lari menyelamatkan diri.
"Kehadiran gajah liar ini sudah lama berlaku sejak saya dan isteri, baru berpindah di Felda ini namun haiwan itu tidak pernah mengganggu penduduk setempat meskipun lalu di tepi kediaman mereka."Saya reda dengan kejadian yang berlaku dan jenazah Mohamad Syafik akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenggaroh Timur 1 selepas selesai proses bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Felda Tenggaroh Timur 1, Alias Atan berkata, isu kehadiran gajah liar di kawasan tersebut sudah lama berlaku, namun kejadian tragis seperti hari ini, yang melibatkan kehilangan nyawa, adalah yang pertama.
"Apabila gajah liar memasuki kawasan kampung, kami sering mengingatkan penduduk agar tidak mengganggu haiwan tersebut kerana bimbang akan tindak balasnya.
"Sebenarnya, gajah liar sering berkeliaran di sini, dan ini hanyalah seekor daripada banyak lagi yang berada di kawasan ini," katanya.
Alias berharap agar agensi berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini seumpama itu berulang lagi.
Terdahulu, media melaporkan seorang pekerja pembersihan kontrak maut manakala seorang lagi cedera parah akibat dipijak gajah di kawasan hutan kecil berhampiran SK Tenggaroh 5 hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, hanya seekor anak gajah dipercayai terlibat dalam serangan itu dan haiwan tersebut disyaki terpisah daripada kumpulannya. - Bernama