Ajaran sesat al-Arqam: Usaha polis lumpuhkan rangkaian GISBH tepat

Iklan
Razarudin pada sidang akhbar Op Global baru-baru ini.

SHAH ALAM - Tindakan terhadap bekas pengikut kumpulan ajaran sesat al-Arqam yang bergerak menerusi rangkaian perniagaan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) wajar dikenakan tindakan tegas termasuk menghapuskan rangkaian itu hingga ke peringkat akar umbi.

Langkah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang bertekad mahu menamatkan sepenuhnya rangkaian haram itu menerusi Op Global haruslah dipuji.

Iklan
Iklan

Razarudin berkata, segala tindakan perlu dijalankan berhati-hati dan siasatan polis terhadap GISBH kini menjurus kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Polis juga menggunakan seluruh peruntukan serta undang-undang sedia ada termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Iklan

GISBH menjadi medium kumpulan ini mengamalkan dan mengembangkan ajaran tarekat Aurad Muhammadiyah yang diharamkan pada 1994 termasuk masih mengagungkan pemimpin lama mereka.

Perkara ini dibuktikan dengan penemuan risalah dan buku-buku di premis milik GISBH menerusi Op Global yang dilancarkan bulan ini.

Iklan

Sehingga kini dianggarkan GISBH disertai sebanyak 10,000 ahli termasuk kanak-kanak yang direkrut untuk dijadikan hamba abdi, didera dan pemuas nafsu songsang tenaga pengajarnya.

Pada 11 September lalu, polis membuat serbuan terhadap 20 rumah kebajikan milik GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan serta menahan 171 individu bagi membantu siasatan kes mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Siasatan juga mendapati 13 penghuni rumah kebajikan GISBH dipercayai menjadi mangsa liwat.

Difahamkan keseluruhan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun diselamatkan dalam operasi berkenaan. Daripada jumlah itu, seramai 10 kanak-kanak merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penghidap autisme yang diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas saringan dibuat.

Tiga lelaki yang mempunyai kaitan dengan GISBH yang disiasat polis susulan Op Global yang dijalankan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban di Negeri Sembilan.

Tindakan diambil mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) akta sama.

Terbaru pada Khamis, seorang warden sekolah agama milik GISBH dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Klang kerana merotan dan menekan dada kanak-kanak seperti video yang tular sebelum ini

Mengikut keempat-empat pertuduhan itu, lelaki itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap tiga kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun menganiaya mereka dengan merotan dan menekan dada menggunakan lutut salah seorang mangsa yang mungkin menyebabkan kesemua mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Sementara itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan kompaun berjumlah RM4.4 juta telah dikeluarkan terhadap 12 syarikat yang berkaitan dengan GISBH.

Siasatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati kesemua syarikat tidak mematuhi tanggungjawab menyerahkan penyata tahunan dan penyata kewangan masing-masing.