Lelaki dicekup cuba seludup rokok

Iklan
Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyeludupan rokok tanpa cukai yang sah dalam Ops Utama di Jalan Salleh, di sini pada Rabu. Gambar hiasan (Gambar kecil: Raiz Mukhliz)

MUAR – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyeludupan rokok tanpa cukai yang sah dalam Ops Utama di Jalan Salleh, di sini pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, lelaki warga tempatan berusia 21 tahun itu ditahan pada jam 3 petang di lokasi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan, polis menemukan dan merampas sejumlah 830 kotak rokok pelbagai jenama dipercayai untuk pasaran tempatan.

"Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza, wang tunai dan sebuah telefon bimbit dianggarkan bernilai RM176,462,” katanya.

Iklan

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM100,000 yang mana lebhi besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan penjara dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Polis rampas 73.54 gram dadah, berkas ‘tokan’

PONTIAN – Polis merampas 73.54 gram dadah dalam Ops Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sekitar Kampung Kolam Air dan Kayu Ara Pasong, di sini pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib, dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 12.40 tengahari itu, polis turun menahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 50-an yang dipercayai menjadi ‘tokan’ bagi aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

"Dalam operasi ini BSJND Pontian merampas dadah jenis heroin dengan berat kasar 73.54 gram dan dipercayai dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan oleh 367 penagih jika terlepas ke pasaran.

"Hasil ujian air kencing, suspek didapati positif dadah jenis morphine dan hasil semakan rekod lampau turut mendapati suspek memiliki tiga rekod lampu berkaitan dadah.

"Modus operandi suspek adalah dengan menjadikan kawasan kampung sekitar Kayu Ara Pasong di sini sebagai kawasan pengedaran dan ia dipercayai sejak Julai 1994 lalu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan.

Permohonan reman di bawah Seksyen 117 KPJ terhadap suspek telah dibuat dan diluluskan selama tujuh hari mulai Khamis hingga Khamis depan untuk siasatan lanjut.