Wanita 71 tahun rugi RM291,200 ditipu tawaran kerja sambilan

Iklan
Seorang wanita warga emas berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM291,200 selepas ditipu tawaran kerja sambilan tidak wujud.Gambar hiasan (Gambar kecil: Azli)

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita warga emas berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM291,200 selepas ditipu tawaran kerja sambilan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, wanita berusia 71 tahun yang juga seorang peniaga itu terperdaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian dan telah membuat bayaran tanpa menerima sebarang komisen.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa berminat untuk menambah pendapatan dengan melakukan kerja ditawarkan oleh kenalannya yang hanya dikenali melalui laman Facebook pada 22 Ogos lalu.

"Mangsa diminta untuk mengeluarkan modal barangan yang hendak dijual dan dijanjikan menerima semula wang itu berserta komisen sebanyak 15 peratus.

Iklan

"Mangsa juga dijanjikan wangnya akan dikembalikan bersama komisen selepas sebulan dari tarikh modal dikeluarkan," katanya di sini, pada Jumaat.

Menurut Azli, mangsa yang terpedaya telah membuat pembayaran menerusi empat akaun bank iaitu Maybank, Hong Leong Bank, Bank Islam, dan UOB Bank dengan jumlah sebanyak RM291,200.

Iklan

Katanya, sumber kewangan yang digunakan untuk dipindahkan ke akaun diarahkan itu adalah daripada wang simpanan dan perniagaan milik mangsa.

"Mangsa menyedari ditipu apabila tidak menerima kembali wang berserta komisen dijanjikan namun masih diminta untuk membuat bayaran lain.

"Mangsa tampil di balai polis di sini pada Rabu lalu untuk membuat laporan," katanya.

Beliau berkata, pihak polis memandang serius kes berkaitan penipuan terbabit dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.