Ops Selamat catat peningkatan kadar kematian, kemalangan maut

Iklan
Mazlan (enam dari kanan) bersama wakil kontinjen dan daerah terbaik dalam Op Selamat 16/2020 Tahun Baru Cina.

KUALA LUMPUR - Ops Selamat 16/2020 Tahun Baru Cina mencatatkan peningkatan kadar kematian, kemalangan maut dan kemalangan dalam tempoh 14 hari pelaksanaannya berakhir pada 1 Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, kadar kematian meningkat sebanyak enam peratus iaitu 230 kes tahun ini berbanding 216 kes tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah kes kemalangan maut pula merekodkan peningkatan sebanyak sembilan kes iaitu 206 kes pada tahun ini berbanding 197 kes tahun lalu dengan pengguna motosikal merupakan penyumbang kepada angka korban tertinggi iaitu 147 kematian diikuti pengguna kereta yang merekodkan 52 kematian.

"Op Selamat kali ini mencatatkan sebanyak 23,208 kemalangan dan jumlah itu meningkat sebanyak 2,379 kes atau 11 peratus berbanding 20,829 kes pada Op Selamat 14, tahun lalu," katanya pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 16 Sempena Tahun Baru Cina di Bukit Aman di sini pagi tadi.

Iklan

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kecuaian pemandu dan penunggang motosikal terhadap aspek-aspek keselamatan jalan raya menjadi penyumbang tertinggi kemalangan.

"Kecuaian ketika keluar atau masuk simpang, memasuki laluan bertentangan, cuba memotong kenderaan lain atau menukar laluan dan mengekori kenderaan lain terlalu rapat antara faktor yang menjadi penyumbang utama kepada kemalangan maut melibatkan kenderaan," katanya.

Iklan

Sementara itu, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 399,998 saman atas pelbagai kesalahan pada operasi berkenaan.

Terdahulu, dalam majlis tersebut, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Perak Tengah masing-masing diumumkan sebagai kontinjen dan daerah terbaik dalam Op Selamat 16/2020 Tahun Baru Cina.