Peralihan monsun: Komuniti maritim diminta waspada

Iklan
Maritim Malaysia Kelantan meminta komuniti maritim di negeri ini supaya berwaspada terhadap fasa peralihan monsun dijangka bermula Selasa lalu sehingga awal November ini.

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan meminta komuniti maritim di negeri ini supaya berwaspada terhadap fasa peralihan monsun dijangka bermula Selasa lalu sehingga awal November ini.

Pengarahnya, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, situasi itu boleh menyebabkan berlaku ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat, terutama pada waktu petang dan awal malam.

Iklan
Iklan

"Kami mengingatkan komuniti maritim seperti nelayan, komuniti perkapalan, industri cari gali minyak serta penggemar aktiviti rekreasi laut atau di pesisir pantai khususnya yang berada di kawasan Pantai Timur Semenanjung untuk bersedia menghadapi monsun, seterusnya meningkatkan tahap kewaspadaan ketika musim tersebut.

"Sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah atau insiden di laut boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 24 September dan berterusan sehingga awal November.

Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei lalu.

Iklan

Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.

Situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat, terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

Keadaan cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.

Orang ramai juga boleh menghubungi hotline jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.