[VIDEO] Kanak-kanak bawa pulang RM1,000 menang lumba siput

Iklan

KUALA NERUS - Rezeki tidak salah alamat, itu gambaran tepat kepada seorang kanak-kanak apabila dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan 'Siputrace' atau lumba siput yang diadakan di tapak perniagaan Nostalgia Studio Jalan Ampas (NoSJA) di Pantai Tok Jembal di sini pada malam Khamis.

Muhammad Ar Rayyan dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Siputrace di tapak perniagaan Nostalgia Studio Jalan Ampas (NoSJA) di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, malam Khamis.

Dalam perlawanan tersebut, Muhammad Ar Rayyan Saharuddin, 11, dari Kampung Tok Jembal menyandang juara menewaskan 186 peserta yang lain.

Pusingan separuh akhir menyaksikan siput dipertandingkan masih aktif bagi merebut gelaran juara.

Iklan
Iklan

Muhammad Ar Rayyan atau lebih mesra digelar Rayyan berkata, dia sama sekali tidak menyangka berpeluang memenangi hadiah tersebut kerana hanya membeli empat ekor siput dengan harga RM2.

"Sebenarnya saya datang ke sini sekadar suka-suka dan mencuba nasib, tak sangka pula siput yang saya guna masuk bertanding begitu aktif dan menang dalam semua perlumbaan.

Iklan

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang saya dapat hari ini. Insya-ALLAH duit yang saya terima ini saya akan simpan dan siput saya yang menang tu saya akan jaga dan pelihara sebaiknya," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan Siputrace di sini, malam tadi.

Seorang peserta mempertaruhkan siput babi ketika menyertai pertandingan 'Siputrace' pada malam Khamis.

Seorang lagi peserta, Fatiha Haruna Rashid, 34, dari Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu hanya berpuas hati apabila siput yang digelar sebagai Roy hanya mampu mara ke peringkat akhir namun tidak berjaya memenangi sebarang tempat.

Iklan

"Lepas tahu ada pertandingan 'Siputrace' ni saya cari siput di merata tempat termasuk di dalam semak sebab berhasrat untuk menang.

"Saya guna siput jenis belitung. Sebenarnya banyak saingan daripada siput jenis lain termasuk siput babi. Malangnya Roy tidak memberikan kerjasama di saat akhir.

"Walaupun tak menang, saya seronok dapat sertai pertandingan ini kerana paling utama dapat mengeratkan silaturahim antara kita," ujarnya sambil tersenyum.

Sementara itu, penganjur pertandingan, Muhammad Yusri Muda berkata, idea mengadakan perlumbaan aneka siput itu tercetus selepas melihat perlawanan siput sedut yang disiarkan melalui aplikasi TikTok sebelum ini.

Golongan kanak-kanak teruja menyaksikan perlawanan 'Siputrace' di tapak perniagaan Nostalgia Studio Jalan Ampas (NoSJA) di Kuala Nerus.

Katanya, pertandingan itu terbuka kepada semua jenis siput dengan yuran penyertaan RM1.

"Apa yang saya lihat itu dalam TikTok, jadi kita nak buat kelainan sedikit dengan mengadakan pertandingan secara 'live' malam ini.

"Hadiah utama dalam perlawanan siput ini merupakan inisiatif vendor-vendor yang ada di sini, mereka sama-sama kumpul duit untuk diberikan kepada pemenang bertuah," katanya.

Sebahagian peserta dan pengunjung yang membanjiri tapak perniagaan Nostalgia Studio Jalan Ampas (NoSJA) untuk menyaksikan 'Siputrace'.

Seramai lebih 2,000 pengunjung membanjiri tapak perniagaan itu untuk menyaksikan pertandingan 'Siputrace' yang menyaksikan penampilan aneka siput antaranya siput sedut, siput gondang, siput buluh, siput babi dan lain-lain lagi.

Seorang pengunjung, Muhammad Arif Rosli, 26, berkata, dia dan isteri serta anak teruja menyaksikan pertandingan lumba siput itu.

"Saya datang ke sini bawa isteri dan anak-anak untuk habiskan waktu terluang bersama-sama sempena malam minggu. Tak sangka pula ada aktiviti menarik iaitu perlawanan siput.

"Selama ni saya hanya tengok lumba siput menerusi TikTok, hari ini dapat tengok secara langsung. Perlumbaan ini menarik sebab ramai peserta tak kira tua, muda semuanya datang bawa siput.

"Sebenarnya, bagi saya aktiviti ini diadakan sebagai suka-suka dalam masa yang sama mengeratkan hubungan antara satu sama lain," katanya.