PASIR PUTEH - Hati anak mana yang tidak risau memikirkan ibu tersayang, yang hilang tanpa khabar berita sejak lebih sembilan bulan lalu dan perasan itu 'menghantui' Khairul Ajha Mohamad, 49.
Menurut anak ketiga daripada lapan beradik itu, ibunya, Kalsom Yahya, 71, yang tinggal di Kampung Wakaf Raja, di sini dilaporkan hilang sejak 16 Disember 2023 dan sehingga kini masih belum ditemui.
Berkongsi insiden itu kepada Astro Awani, Khairul berkata, laporan polis berhubung kehilangan warga emas itu telah dibuat di Balai Polis Bukit Yong di sini, sebelum laporan kedua dibuat di Balai Polis Daerah Ampang Jaya, Kuala Lumpur.
Dia, yang ketika ini bekerja di Kuala Lumpur menambah, pelbagai usaha telah dilakukan bersama adik-beradik yang lain untuk mengesan keberadaan ibunya, namun semua itu tidak membuahkan hasil.
"Selepas ibu saya hilang pada 16 Disember 2023, saya balik ke kampung untuk mencarinya. Saya (dan adik beradik) pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Puteh, jika ada individu yang hantar ibu saya ke sana tetapi tiada.
"JKM Pasir Puteh kemudian menelefon semua rumah kebajikan orang tua termasuk di Jerteh (Terengganu). Namun tidak menerima sebarang maklumat mengenai ibu saya. Kami juga pergi cari di hospital terdekat dan didapati tiada laporan kemasukan ibu ke hospital.
"Selain itu, kami mencari di rumah kakak ipar yang terletak di Jerteh," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Khairul memaklumkan ibunya yang kali terakhir dikesan memakai baju kurung berwarna merah jambu dan berkain batik tidak mengalami masalah kesihatan seperti nyanyuk.
Dia berkata, kebiasaan Kalsom yang tinggal seorang diri akan berjalan kaki ke rumah adik perempuannya di Kampung Alor Pasir, di sini yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah ibunya.
Kongsi Khairul lagi, sepanjang kehilangan ibunya, dia mengalami gangguan emosi, kemurungan, hilang tumpuan terhadap kerja serta sering mengambil cuti untuk pulang ke kampung halaman.
"Harapan saya besar agar ibu dapat ditemui... Buat masa sekarang, kami adik-beradik boleh terima dengan sebarang kemungkinan dan sudah reda.
"Kami boleh terima (sama ada hidup atau meninggal dunia), asalkan ibu dapat dijumpai walau hanya tulang. Kalau ibu masih hidup, kami adik-beradik lagi gembira dan bersyukur.
"Saya tahu ini sudah suratan takdir, tetapi saya harap ada perkembangan (mengenai pencarian) ibu saya," katanya.
Dalam masa sama, Khairul memaklumkan dia ada menerima maklumat daripada orang awam yang melihat kelibat wanita yang mirip ibunya di Jerteh.
Bagaimanapun selepas melakukan pemeriksaan, dia berkata, wanita terbabit bukan ibunya.
Sehubungan itu, Khairul berharap orang awam yang mempunyai maklumat mengenai ibunya boleh menghubungi dan melaporkan perkara itu kepada balai polis terdekat.
Siasatan Masih Dijalankan
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.
Beliau menjelaskan siasatan berhubung kes orang hilang masih dijalankan.
"Orang hilang masih belum dijumpai. Semua siasatan telah kita buat," katanya.
Zaizul menambah, terdapat tuduh-menuduh dalam kalangan adik-beradik bahawa orang hilang telah 'disembunyikan'.
Justeru, beliau menegaskan pihak polis telah melakukan semua siasatan mengikut saluran yang sepatutnya. - Awani