KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 19 Februari ini bagi mendengar permohonan pendakwaan untuk melucut hak ke atas wang berjumlah RM677,872.55 yang disita daripada Barisan Nasional (BN) Bahagian Johor Bahru.
Wang itu yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Iklan
Iklan
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu ketika pendengaran kes berkenaan yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali dan peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros dan Syahrul Syazwan Salehin mewakili BN Bahagian Johor Bahru.
Ahmad Shahrir juga memerintahkan pihak pendakwaan memfailkan hujahan pada 10 Februari manakala 14 Februari untuk pihak peguam memfailkan hujahan balas.
Pada 27 September tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pendakwaan untuk memasukkan nama pemegang jawatan BN Bahagian Johor Bahru dalam notis melucut hak harta cawangan parti politik itu berjumlah RM677,872.55.
Sebelum ini, dalam satu sidang akhbar, Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) dan suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama