JOHOR BAHRU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor giat menjalankan usaha mengesan gajah yang menyerang dua pekerja kontrak pembersihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenggaroh Lima pada Khamis.
Pengarahnya, Aminuddin Jamin berkata, kerja-kerja mengesan gajah tersebut sudah pun dimulakan dan berharap haiwan itu dapat ditangkap segera.
"Dalam masa sama, kita turut buat kawalan di kawasan yang terlibat sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya kepada Sinar Harian.
Aminuddin berkata, gajah kebiasaan akan bergerak pada waktu malam dan seekor gajah yang menyerang dua pekerja kontrak sekolah itu mungkin terpisah daripada kumpulannya ketika melalui kawasan berkenaan.
Katanya, apabila siang, haiwan itu cuba untuk kembali kepada kumpulannya tetapi terserempak pula dengan manusia yang bertindak menghalau gajah tersebut.
"Setakat laporan yang kita terima, hanya seekor gajah yang terlibat. Gajah tersebut dipercayai telah terpisah daripada kumpulannya dan ini pernah berlaku di Kluang sebelum ini.
"Ketika itulah dia diprovokasi untuk keluar dari kawasan tersebut oleh manusia dan menyebabkan haiwan itu terkejut lalu bertindak menyerang manusia,” katanya.
Pada Khamis, seorang pekerja kontrak pembersihan sekolah maut manakala rakannya parah akibat diserang gajah dalam kejadian di Felda Tenggaroh 5 di sini.
Dua pekerja terbabit diserang ketika cuba menghalau gajah liar terbabit dari mendekati kawasan sekolah.
Susulan kejadian itu, Aminuddin menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan apa-apa tindakan apabila berdepan dengan gajah liar.
Katanya, sebarang tindakan dikhuatiri akan menyebabkan gajah-gajah tersebut terkejut dan melakukan tindak balas.
"Ingat, walaupun dari jauh gajah tu nampak jinak, tapi dia tetap gajah liar,” katanya.