Kadar intensiti banjir meningkat

Iklan

PUTRAJAYA - Malaysia berdepan cabaran serius dengan peningkatan kadar dan intensiti banjir di seluruh negara.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Raja Datuk Nurshirwan Zainal Abidin menegaskan, senario yang membimbangkan itu dapat dilihat apabila kawasan yang dahulunya tidak pernah mengalami banjir kini turut terkesan.

Iklan
Iklan

"Cabaran terbesar yang bakal kita hadapi adalah peningkatan kadar dan intensiti banjir. Ini adalah realiti yang sedang berlaku di seluruh negara," katanya menerusi sesi rapat umum Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK), di sini pada Jumaat.

Ujarnya, bencana itu bukan sahaja menyebabkan gangguan dalam kehidupan seharian, malah memberi kesan psikologi mendalam kepada masyarakat yang terpaksa menghadapinya berulang kali.

Iklan

"Walaupun kejadian banjir menjadi sesuatu yang biasa di Kelantan dan Terengganu, di mana kanak-kanak kadang-kadang menantikan musim banjir, hakikatnya ia adalah satu pengalaman yang sangat traumatik," jelas beliau.

Raja Nurshirwan berkata, apa yang lebih teruk lagi, banjir bukan hanya melibatkan air tetapi juga selut yang menambahkan kesukaran untuk pulih.

Iklan

"Memandangkan isu ini semakin kerap berlaku, kerajaan memberi fokus yang lebih kepada projek tebatan banjir walaupun kosnya amat tinggi.

"Namun, persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia untuk menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks ini?

"Saya berharap dengan sesi ini rakyat lebih cakna dengan cabaran ini," katanya.

Dalam pada itu, Raja Nurshirwan berkata IKK sangat penting untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat awam mengenai isu keselamatan.

Ia juga memastikan terdapat konsensus isu keselamatan bukan hanya di peringkat pegawai kerajaan tapi juga dalam kalangan masyarakat.

Rapat umum itu turut disertai Ketua Penyelidik IKK, Profesor Dr Yarina Ahmad, turut membincangkan sembilan nilai teras yang digariskan di dalam Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025 dalam mengukur tahap keselamatan negara.