PU Azman ke Penjara Kajang serta-merta

Iklan
Pendakwah selebriti Azman Syah Alias (tengah) atau lebih dikenali sebagai PU Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dengan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lepas. Foto Bernama

KLANG – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat memerintahkan pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman, menjalani hukuman di Penjara Kajang selama 24 tahun dan dua sebatan, serta-merta.

Hakim, Noridah Adam memutuskan demikian selepas menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman oleh peguam, Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili Azman, 43.

Iklan
Iklan

"Permohonan peguam untuk penangguhan pelaksanaan ini ditolak kerana tiada keadaan khas dikemukakan oleh pembelaan kepada mahkamah,” katanya.

Azman yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju kurta berwarna biru gelap, kemudiannya mengangguk faham selepas ditanya hakim sama ada dia memahami keputusan mahkamah berkenaan.

Iklan

Dia turut kelihatan sugul manakala kakaknya dilihat mengelap air mata selepas hukuman dijatuhkan.

Semasa hujahan, peguam, Mohamad Zahid Ahmad berkata, pembelaan memohon mahkamah membenarkan penangguhan hukuman, kerana anak guamnya merupakan pesalah pertama dan tidak pernah disabitkan atas jenayah lampau.

Iklan

Menurutnya, kebarangkalian dia terlibat dengan kes jenayah semasa menunggu rayuan, adalah tipis.

"Jika mahkamah meneruskan hukuman, ia akan menyukar kami untuk menyediakan pembelaan untuk kes lain, termasuk permohonan rayuan yang terbaik.

"Untuk makluman mahkamah, dia masih berdepan kes sama di Mahkamah Sesyen Ampang, Shah Alam dan Klang, Selangor serta Seremban, Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, Azman yang juga seorang duda setelah berpisah dengan bekas isteri, tidak membantah jika mahkamah menetapkan syarat tambahan sekiranya membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul 'Izzati Mohamad membantah permohonan berkenaan kerana tiada alasan kukuh bagi membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan hukuman itu.

"Pembelaan sepatutnya mengemukakan fakta yang menunjukkan keadaan yang istimewa, khas atau luar biasa,” katanya.

Selain Nurul 'Izzati, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ Ayuni Jamri dan Zahida Zakaria.

Turut hadir peguam, Norhayati Johar dan Saphirra Selamat dari Jabatan Bantuan Guaman Selangor selaku pendamping guaman bagi mangsa.

Pada Jumaat, Azman yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik, dihukum penjara 24 tahun dan dua sebatan atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki, ketika kejadian berusia 17 tahun, dua tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, pelakon itu dihukum penjara 12 tahun dan satu sebatan bermula Jumaat, sementara pertuduhan kedua, 12 tahun penjara dan satu sebatan selepas tamat menjalani hukuman kes terdahulu.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani kaunseling di penjara, selain pengawasan polis selama dua tahun selepas tertuduh tamat hukuman.

Pada 26 Disember 2023, Azman diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Berdasarkan dua pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun 2022. J

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Azman yang turut dikenali sebagai Cik Man turut berdepan sembilan pertuduhan iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.