150 daripada 740 sistem IT agensi kerajaan tidak diketahui pemilik

Iklan
150 daripada 740 sistem IT agensi kerajaan tidak diketahui pemilik. Foto hiasan 123RF

PUTRAJAYA - Sebanyak 150 daripada 740 sistem teknologi maklumat (IT) yang aktif dari sebuah agensi kerajaan tidak diketahui pemiliknya sehingga berlaku serangan siber.

Dedah Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Raja Datuk Nurshirwan Zainal Abidin, situasi amat mengejutkan itu mencerminkan kurangnya kesedaran terhadap pengurusan data dalam kalangan pegawai kerajaan.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, salah satu punca kepada masalah itu adalah didakwa wujudnya komplot antara pegawai kerajaan dengan vendor IT, yang membolehkan perolehan dilakukan tanpa penelitian.

"Apabila seseorang SUB (Setiausaha Bahagian) masuk bahagian itu, dia ada kawan vendor yang menjual sistem itu dan mereka 'kawtim'.

Iklan

"Jadi tanpa disedari wujudlah sistem berasingan. Akhirnya, kita ada 740 sistem, dan daripada jumlah itu, 150 adalah tidak diketahui," katanya menerusi sesi rapat umum Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) di sini pada Jumaat.

Tambahnya, sistem yang tidak teratur itu turut berpotensi berlaku rasuah kerana ia mudah dimanipulasi.

Iklan

Beliau berkata, sistem keselamatan negara perlu canggih seiring dengan keperluan semasa untuk mengatasi isu keselamatan counter terrorism termasuklah pemalsuan wajah (deepfake).

"Sebagai contoh fatwa yang dikeluarkan oleh ulama tersohor berbeza 180 darjah daripada apa yang sebenarnya.

"Kita perlu mempunyai sistem yang sama canggih untuk menangani perkara seperti itu, jadi di manakah Malaysia dalam hal ini?

"Jika diukur pada skala 0 hingga 10, saya akan beri paling baik pun 2, dan dalam beberapa keadaan, ia boleh jadi 0.

"Inilah realiti keselamatan di negara kita," katanya.