Komuniti Madani: Penduduk Telekong terima 'durian runtuh'

Iklan
Mohd Na'im merasmikan van jenazah bernilai RM180,000 yang diberikan kepada Masjid Saidina Umar Al-khattab Mukim Telekong.

KUALA KRAI - Penduduk di Kampung Telekong di sini menerima 'durian runtuh' apabila RM1.2 juta disumbangkan kepada Masjid Saidina Umar Al-khattab di mukim ini bagi melengkapkan dana untuk pembinaan rumah ibadah tersebut.

Sumbangan itu disalurkan sempena program Komuniti Madani yang dianjurkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berharap sumbangan itu dapat melengkapkan dana bagi menyiapkan masjid tersebut.

"Pihak ahli jawatankuasa telah mengutip RM1.3 juta selama dua tahun untuk membina masjid baharu," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Santuni Komuniti Madani di Masjid Saidina Umar Al-khattab Mukim Telekong di sini.

Iklan
Mohd Na’im (tiga, kanan) menyampaikan replika kunci kepada wakil Masjid Saidina Umar Al-khattab Mukim Telekong di Kuala Krai.

Mohd Na’im memberitahu, sebanyak RM50,000 turut disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Telekong untuk menambah baik surau.

Ujarnya, dana tersebut diharap dapat digunakan untuk baik pulih, penggantian karpet baharu dan pendingin hawa.

Iklan

Menurut beliau, seramai 431 pelajar turut diberikan sumbangan beg sekolah baharu.

"Dua unit komputer riba turut disumbangkan kepada sekolah serta 500 bakul Rahmah buat ketua isi keluarga (KIR) di kampung ini," katanya.

Tambah beliau, Tabung Haji turut menyumbang sebuah van jenazah bernilai RM180,000 bagi menggantikan kenderaan yang sebelum ini sudah uzur.