KLANG - Penyelenggaraan dan pelebaran jalan raya terutama di Pelabuhan Klang akan menjadi keutamaan kerajaan pada belanjawan akan datang sebagai langkah memangkin pertumbuhan ekonomi dari sektor pengangkutan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun mengambil sedikit masa tetapi beliau bersetuju mengarahkan kerajaan meneliti untuk meluluskan peruntukan bagi membaiki jalan sedia ada di kawasan pelabuhan.
Ujarnya, kerajaan akan memberi sokongan kepada pembangunan infrastruktur tersebut di kawasan sekitar bagi memastikan Pelabuhan Klang khususnya Pelabuhan Barat (Wesport) terus menjadi pelabuhan utama dengan menduduki lima tangga tertinggi dunia.
"Dengan kemajuan ekonomi pelaburan yang meningkat, saya harap pendapatan lebih tinggi juga dengan pendapatan dari hasil negara melalui kutipan cukai termasuklah daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia lebih tinggi mungkin kita dapat menyegerakan dan saya setuju supaya kita letakkan jalan raya sebagai keutamaan kita dalam merancang pertumbuhan untuk tahun depan.
"Tahap kemalangan yang tinggi, tetapi kos pembinaan juga sangat tinggi sebab itu segera dalam perancangan saya akan berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook kerana ada dalam keupayaan kita untuk menyegerakan pelebaran jalan,” katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Wesport 2 di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengerusi Eksekutif Westport Malaysia, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengunjurkan peningkatan pertumbuhan ekonomi melalui perdagangan antarabangsa selepas menyatakan kerajaan bersikap proaktif dalam mengenal-pasti pelaburan-pelaburan baharu.
Ujarnya, beliau serta kepimpinan lain termasuk Amirudin dan Tengku Zafrul mengadakan lawatan di Rusia, China, walaupun menyedari negara-negara terlibat mempunyai kepentingan politik masing-masing.
"Kita buka ruang-ruang baharu dengan China melalui lawatan dan pertemuan yang dilakukan sendiri Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Anthony Loke di China," ujarnya.
Perdana Menteri turut memaklumkan, beliau juga bersama Amirudin dan kepimpinan lain mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Vladivostok dan melalui BRICS (Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu).
"Walaupun mempunyai kepentingan politik berbeza umpamanya kalau kerjasama dengan Putin nanti Joe Biden fikir apa pula sebab kita ada perdagangan dengan Amerika Syarikat, sementara China pula mempunyai kuasa ekonomi yang besar. Tetapi kita mencari jalan supaya dapat buka pasaran baharu,” ujarnya.