PDRM jejak transaksi aliran wang, aset GISBH - KPN

Iklan
Razarudin

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjejaki transaksi aliran wang dan segala aset GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di dalam negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses berkenaan memakan sedikit masa berdasarkan siasatan terhadap individu yang ditahan dan maklumat risikan yang diperoleh.

Iklan
Iklan

"Pada masa ini proses menjejaki kesemua aset dan transaksi aliran wang sama ada melalui akaun syarikat mahupun individu.

"Proses menjejaki dana milik GISBH ini sedang berjalan termasuk mengesan akaun-akaun beberapa syarikat berkaitan serta akaun-akaun peribadi milik individu tertentu sama ada ahli GISBH atau orang luar," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Razarudin berkata, setakat ini, sebahagian besar aset GISBH sudah disita melalui serbuan yang dijalankan sebelum ini menerusi Fasa 1 sehingga Fasa 4, baru-baru ini.

Menurut beliau, berdasarkan pemantauan yang dijalankan setakat ini, pihaknya mendapati hampir keseluruhan premis berkaitan GISBH tidak beroperasi susulan serbuan besar-besaran yang dijalankan.

Iklan

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, aktiviti perniagaan GISBH semakin kurang mendapat sambutan sejak Ogos lalu apabila kegiatan mereka didedahkan oleh laman Facebook Pukas Malaysia.

"Susulan daripada itu juga, kepercayaan masyarakat semakin terhakis dan kita percaya selepas itu perniagaan rangkaian GISBH mula merudum," katanya.

Beliau berkata, langkah polis selepas ini adalah mengumpul seberapa banyak maklumat bagi melengkapkan siasatan selain mengalu-alukan sebarang laporan daripada bekas ahli-ahli GISBH dan mangsa mereka.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan keseluruhan 153 akaun bank berkait GISBH bernilai lebih RM880,000.

Razarudin pada sidang media khas pada 23 September lalu dilaporkan berkata, tindakan pembekuan itu membabitkan 138 akaun bank masih aktif dan 15 akaun yang sudah ditutup.

Turut dibekukan ialah 22 kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,872,085 serta 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan.

Beliau berkata, tindakan pembekuan itu diambil mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Selain itu, katanya, penyitaan aset dilakukan mengikut Seksyen 45(2) akta sama, membabitkan 16 kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM2.07 juta.

Polis turut merampas 26 ekor haiwan terdiri daripada sembilan kuda, 14 arnab serta tiga burung merak, selain wang tunai RM18,650 dan dua jam tangan bernilai RM600.