ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merakamkan ucapan menjunjung kasih atas limpah perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima permohonan ampun sebagaimana yang dititahkan pada Khamis.
Muhammad Sanusi turut berazam akan mematuhi titah nasihat Sultan Sharafuddin agar lebih berhati-hati selain menjaga tutur kata khususnya ketika berada di negeri Selangor.
"Mudah-mudahan sifat pengampun dan kebaikan hati yang ada pada Tuanku Sultan akan membawa lebih banyak kebaikan serta menambahkan lagi daulat dalam pemerintahan Tuanku serta menjadikan negeri Selangor sebagai negeri yang diberkati serta dilimpahi rahmat oleh ALLAH SWT,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, Sultan Sharafuddin berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi yang dipersembahkan pada Rabu.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi di atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
Muhammad Sanusi turut melahirkan rasa syukur atas perkenan baginda dan mendoakan semoga Sultan Sharafuddin dikurniakan kesihatan yang baik.
"Dengan penuh hormat dan takzim, saya merafak sembah mendoakan semoga Sultan Sharafuddin dipanjangkan usia oleh ALLAH SWT serta berada dalam keadaan sihat walafiat untuk terus melaksanakan tanggungjawab memerintah penuh adil dan cemerlang,” katanya.
Pada Rabu, Muhammad Sanusi memohon ampun kepada Sultan Selangor berikutan kenyataan beliau yang dianggap menghina dan tidak menghormati baginda pada Julai tahun lalu.
Muhammad Sanusi turut memohon maaf kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan rakyat negeri itu atas keterlanjuran kata-kata beliau.
Pada 29 Februari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah beliau terhadap dua pertuduhan menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara, Gombak jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.