[VIDEO] Kagum kegigihan OKU bekerja, pemilik bengkel tawar servis motosikal percuma

Iklan

SEREMBAN - Melihat kegigihan remaja orang kurang upaya (OKU) Cerebral Palsy menunggang motosikal menjual air, mendorong seorang pemilik bengkel motosikal menawarkan servis penyelenggaraan percuma kepadanya.

Inisiatif diambil Muhammad Amir Shafiq Shaharuddin, 31, dengan kerjasama Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS) itu sebagai memberi galakan kepada Aniq Fitri Ros Efendi, 19, untuk lebih berusaha lagi.

Iklan
Iklan
Muhammad Amir sedang memeriksa motosikal Aniq sambil diperhatikan Zulkifli (tengah) dan Ros Efendi (kanan).

Menurut bapa kepada lima anak itu, usaha Aniq mencari rezeki tanpa mengharapkan ibu bapanya semata-mata perlu dijadikan contoh.

Aniq berterima kasih kepada Muhammad Amir (kiri) dan Zulkifli yang menawarkan servis motosikal percuma kepadanya.

"Saya kagum tengok kecekalan Aniq nak bekerja. Walaupun dia kurang upaya, tapi ada semangat dan rajin nak bekerja.

Iklan

"Kita yang sihat fizikal ini perlu jadikan Aniq sebagai contoh dan kena malu dengan dia kalau ada rasa malas nak bekerja," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sehubungan itu, dia berharap perkhidmatan diberi kepada Aniq dapat memberi semangat kepadanya untuk bekerja, sekali gus membuka mata orang lain untuk membuat perkara sama sebagai tanda sokongan kepada golongan OKU.

Iklan

Jelasnya, bukan mudah untuk golongan itu keluar mencari rezeki dengan keadaan diri yang serba kekurangan.

"Niat saya juga adalah untuk berkongsi rezeki dan ini juga peluang saya mencari keberkatan dalam perniagaan.

"Jadinya bila Penaung PCRS, Ustaz Zul (Zulkifli Muhamed) nyatakan idea untuk membantu Aniq dengan cara begini, saya terus menyambutnya," katanya.

Dia yang mengusahakan bengkel di Taman Matahari Height di Senawang sejak empat tahun lalu berkata, Aniq boleh datang ke bengkelnya untuk menyelenggara motosikal atau pemeriksaan rutin pada bila-bila masa.

Sementara itu bapa Aniq, Ros Efendi Abd Rahman, 48, berkata, dia tidak menyangka kecekalan anaknya bekerja telah memberi inspirasi kepada orang ramai termasuk mendorong pelbagai pihak untuk membantu.

"Selepas kisah Aniq ini tular di media sosial, orang ramai bukan saja bantu jualannya, tapi ada juga yang menaja pakaian dan hari ini servis motosikal pula.

"Perkembangan Aniq ini telah buka mata semua orang yang golongan istimewa juga boleh berjaya. Yang pentingnya ibu bapa perlu bagi sokongan dan berkorban," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kisah Aniq yang menunggang motosikal roda tiga di sekitar Senawang di sini untuk berniaga dari satu tempat ke satu tempat.

Kata Aniq, dia memilih untuk berniaga air botol kerana itu saja peluang pekerjaan yang diterimanya selepas mencuba nasib mencari kerja di beberapa tempat di daerah ini.