Permohonan pendakwaan tujuh pertuduhan jenayah Muhyiddin dibicara bersama

Iklan
Muhyiddin (tengah) Foto Fail Bernama

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen pada Jumaat menetapkan 9 dan 10 Disember ini bagi mendengar permohonan pendakwaan agar empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dibicarakan bersama.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh berkenaan ketika sebutan kes yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin serta peguam Amer Hamzah Arshad dan Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili Muhyiddin.

Iklan
Iklan

Terdahulu, Wan Shaharuddin berkata, kesemua tujuh pertuduhan yang dihadapi Muhyiddin perlu dibicarakan bersama, kerana ia mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Amer Hamzah berkata, pada tarikh berkenaan mahkamah juga akan mendengar permohonan pihak pembelaan untuk membatalkan permohonan pendakwaan supaya kes dibicarakan bersama.

Iklan

Wan Shaharuddin juga memohon mahkamah supaya menetapkan tarikh perbicaraan bagi kesemua kes berkenaan, namun perkara itu tidak dipersetujui pihak pembelaan.

Bagaimanapun, Amer Hamzah memberitahu mahkamah bahawa pihaknya perlu berbincang dengan peguam utama Datuk Hisyam Teh Poh Teik, mengenai hal berkenaan.

Iklan

Hakim Azura kemudian menetapkan 3 Oktober untuk pihak-pihak memaklumkan mengenai tarikh perbicaraan dan pada tarikh sama, mahkamah akan mendengar permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan sementara pasport.

Pada 11 Sept, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhyiddin bagi menyemak keputusan mahkamah itu sebelum ini, yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya.

Muhyiddin, 77, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama. - Bernama