SPRM nafi laporan tohmahan wujud arahan pihak tertentu

Iklan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan laporan berita disiarkan di sebuah portal berita tempatan dan antarabangsa yang tidak tepat serta tidak berkredibiliti dengan membuat tohmahan terhadap suruhanjaya itu.

SPRM dalam kenyataannya berkata, pihaknya menafikan dakwaan berita berkenaan yang menyatakan bahawa SPRM telah menerima arahan daripada pihak tertentu agar tidak melakukan siasatan terhadap individu tertentu membabitkan pembelian saham sebuah syarikat.

Iklan
Iklan

Untuk makluman, kata kenyataan itu, setiap tindakan penguatkuasaan dijalankan SPRM adalah 'without fear or favour'.

Tegasnya lagi, semua tindakan dibuat tanpa ada campur tangan mana-mana pihak, malah adil tanpa prasangka dalam semua keadaan berteraskan prinsip kedaulatan serta keluhuran undang-undang.

Iklan

"SPRM yakin perkara tersebut merupakan tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap suruhanjaya ini.

"Ingin ditegaskan bahawa SPRM tidak membuka kertas siasatan sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Iklan

Menurut kenyataan itu lagi, setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

Katanya, SPRM juga tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes-kes rasuah dan penyelewengan yang sedang giat disiasat ketika ini dengan pelbagai tohmahan yang sengaja direka-reka.

Sehubungan itu menurutnya, SPRM berharap agar orang ramai tidak terpedaya dengan tohmahan mana-mana pihak yang cuba mengaitkan suruhanjaya bagi menyerang kepentingan pihak-pihak tertentu.

"SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini kerana isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa seharusnya tidak boleh dikompromi," ujarnya.