Petani risau tak mampu bayar yuran pengajian anak

Iklan
Mohd Mustafa (dua kanan) menyampaikan sumbangan awal kepada bakal pelajar UniMAP, Nur Hidayah Rohimi (dua kiri) dan keluarganya di Beseri Perlis.

BESERI - Seorang petani mengakui risau tidak mampu membayar yuran pengajian anaknya yang menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Rohimi Shariff, 46 berkata demikian semasa menerima kunjungan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah di kediaman mereka di Jalan Kaki Bukit, di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas dimaklumkan anaknya, Nur Hidayah,22, turut terpilih sebagai penerima Biasiswa Program Dermasiswa B40 TVET, dia bersyukur atas bantuan yang diberikan oleh UniMAP kerana secara tidak langsung mengurangkan kerisauan dan bebanan mereka.

"Saya dan isteri pada awalnya agak risau memikirkan perbelanjaan yang diperlukan untuk menghantar anak kami melanjutkan pengajian kerana saya hanya bekerja sebagai petani sementara isteri adalah seorang suri rumah sepenuh masa.

Iklan

"Padi tak menjadi kali ini, risau tidak mampu bayarkan yuran pengajian anak. Namun saya bersyukur dengan pemberian ini, saya yakin Nur Hidayah dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajiannya,” katanya.

Rohimi berkata, pada waktu yang sama, anak sulungnya pula merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang perlu diberikan perhatian manakala dan anak bongsu pula masih bersekolah.

Iklan

Mohd Mustafa (tiga kanan) menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah UniMAP-KPT kepada keluarga pelajar Nur Hidayah Rohimi sempena program Ziarah Kasih UniMAP di kediamannya di Beseri, Perlis.

Sementara itu, Mohd Mustafa yang mewakili Naib Canselor UniMAP berkata, UniMAP berusaha menyediakan pelbagai insentif kebajikan untuk memastikan pelajar tidak terbeban dengan masalah kewangan sepanjang pengajian.

"UniMAP sangat prihatin terhadap kebajikan pelajar dan kami sentiasa berusaha untuk memastikan pengajian mereka berjalan lancar. Kami percaya sokongan seperti ini penting untuk memberi keyakinan dan semangat kepada pelajar agar dapat mencapai kejayaan.

"Sebagai contoh, pemberian Biasiswa Program Dermasiswa B40 TVET adalah satu inisiatif penting bagi memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam sesi ziarah tersebut, sumbangan 'Bakul Kasih' diserahkan kepada keluarga Nur Hidayah sebagai tanda sokongan dan keprihatinan UniMAP terhadap kebajikan pelajarnya.

Jelas Mohd Mustafa, UniMAP berharap Nur Hidayah akan mencapai kecemerlangan dalam pengajiannya dan berjaya merealisasikan impian serta aspirasinya, sekaligus membuktikan bahawa setiap pelajar mempunyai peluang untuk berjaya walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.