Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah membelanjakan sebanyak RM183,000 dalam usaha mengaktifkan kebun getah terbiar di daerah Kluang.
Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, menerusi peruntukan tersebut, sebanyak 78 hektar kebun getah terbiar berjaya diaktifkan semula setakat ini.
Menurutnya, ia melibatkan seramai 64 pekebun kecil di bawah program bantuan penanaman getah RISDA dengan prestasi fizikal mencapai kadar 98 peratus daripada sasaran tahun ini.
"RISDA Kluang menerima peruntukan sebanyak RM2.1 juta pada tahun ini bagi memperkasa komuniti pekebun kecil getah di daerah ini.
"Ia merangkumi enam teras utama program pembangunannya melalui penanaman semula getah, pembangunan hasil baharu, pengeluaran hasil getah termasuk hasil skrap dan lateks, rawatan dan pencegahan penyakit serta bantuan musim tengkujuh," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Gerakan Kelestarian Komoditi Getah (GKKG) peringkat daerah Kluang di sebuah hotel di sini, pada Khamis.
Menurut Manndzri, RISDA turut melaksanakan GKKG peringkat daerah Kluang bertujuan untuk menggalakkan pekebun kecil meningkatkan pengeluaran hasil getah.
"Program GKKG merupakan antara fokus utama RISDA dalam memastikan lebih 1,000 pekebun kecil di daerah Kluang ini terus bergiat aktif dalam mengeluarkan hasil getah asli melalui kebun milik mereka.
"Menerusi GKKG, RISDA menyasarkan sebanyak 12,000 hektar kebun getah terbiar di seluruh negara akan dipulihkan pada tahun ini. Bagi tujuan itu, RISDA memperuntukkan sebanyak RM15 juta," katanya.
Jelasnya, inisiatif proaktif RISDA pada masa kini, selaras dengan trend positif pasaran harga getah yang dilihat signifikan dalam memberikan pulangan pendapatan lebih baik kepada pekebun kecil.
"Pastinya, inisiatif RISDA ini juga selaras dengan Aspirasi Desa Madani yang diperkenalkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
"Justeru RISDA menggalakkan kepada pemilik kebun getah terbiar agar segera mengaktifkan pengeluaran semula hasil getah dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada pejabat RISDA berdekatan," kata Manndzri.
Industri halal negara
Dalam pada itu,Manndzri turut memberitahu mengenai perancangan awal untuk menghantar 200 anak pekebun RISDA ke China untuk mempelajari teknologi penghasilan produk makanan.
Selain itu, 200 pelajar dari China juga akan dihantar ke negara ini untuk belajar mengenai industri halal di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), institusi pengajian tinggi milikan penuh RISDA.
"Terdapat beberapa wilayah di China memiliki penduduk beragama Islam antaranya Shenzen dan Wuhan.
"RISDA mahu pelajar yang dihantar ke China belajar mengenai teknologi dan pengeluaran produk halal terutama makanan dan farmaseutikal di sana," katanya.
Ujar Manndzri, produk halal yang mempunyai permintaan luas memerlukan penglibatan agensi kerajaan seperti RISDA untuk meningkatkan industri halal negara.
Ibu tunggal gigih usahakan produk jus madu epal
Tidak pernah berputus asa dan rajin berusaha menjadi prinsip dipegang ibu tunggal, Dayangku Puziah Mohd Ikhwan, 55, yang kini bergelar usahawan jus madu epal.
Dayangku Puziah berkata, tanpa bimbingan RISDA, semuanya tidak mungkin menjadi kenyataan.
"Perusahaan jus madu epal ini sudah bermula sejak 2009 dan saya memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2014.
"RISDA banyak membantu bukan sahaja dari segi peralatan tetapi juga khidmat nasihat untuk mendapatkan sijil halal," katanya.
Sementara itu, Manndzri juga melawat bengkel pemprosesan jus madu epal itu di Taman Sri Kluang di sini, pada Khamis.
Menurut Dayangku Puziah, pengeluaran jus madu epal cuka mencapai 10,000 sebulan ketika ini dan dipasarkan di stesen-stesen minyak dan melalui ejen.
"Saya cukup menitikberatkan soal kebersihan produk kerana ia penting terutamanya dalam perusahaan makanan.
"Saya mendapatkankan sijil halal kerana ia penting dan merangkumi segala aspek kebersihan," katanya.