Pusingan kerja penjawat awam mampu banteras rasuah

Iklan
MCW menyokong penuh arahan KPPA yang mengarahkan semua ketua jabatan melaksanakan pusingan kerja mulai bulan hadapan. Gambar kecil: Jais

SHAH ALAM - Pelaksanaan pusingan kerja dalam perkhidmatan awam merupakan instrumen penting dalam memerangi ketirisan dana awam, penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menyokong penuh arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang mengarahkan semua ketua jabatan melaksanakan pusingan kerja mulai bulan hadapan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelaksanaan pusingan kerja tidak hanya berfungsi sebagai mekanisme untuk menggalakkan dinamik dalam perkhidmatan awam tetapi mampu memutuskan rangkaian berpotensi membawa kepada amalan rasuah.

"Ini adalah satu langkah proaktif di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang bertepatan dengan keperluan semasa untuk memastikan integriti dan ketelusan diutamakan dalam setiap lapisan pentadbiran kerajaan.

Iklan

"Pusingan kerja dapat mengelakkan pegawai daripada terlalu lama di satu-satu jawatan dan mengurangkan risiko berlaku ketirisan atau salah guna kuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengarahkan semua ketua jabatan melaksanakan pusingan kerja di organisasi masing-masing mulai Oktober ini sebagai inisiatif Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.

Iklan

Menurutnya, inisiatif itu adalah usaha bagi memastikan setiap kementerian dan jabatan berupaya meningkatkan penyampaian perkhidmatan secara optimum dan berkesan.

Tambah Jais, pegawai yang sering dipindahkan akan lebih berhati-hati dalam melaksanakan tugas kerana sedar bahawa prestasi mereka sentiasa dinilai dan dipantau oleh pelbagai pihak.

Ujarnya, peluang mempelajari tugas baharu dan meluaskan kompetensi membantu pegawai awam lebih bermotivasi dan berdaya saing sekali gus meningkatkan prestasi serta kualiti penyampaian perkhidmatan.

"MCW percaya kegagalan melaksanakan pusingan kerja boleh membawa kesan negatif yang lebih besar terhadap keberkesanan perkhidmatan awam dan integriti negara.

"Oleh itu, kami menyambut baik tindakan tatatertib akan dikenakan ke atas ketua-ketua jabatan yang gagal mematuhi arahan ini seperti dinyatakan dalam Peraturan 4 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," katanya.

Dalam pada itu, jelas Jais, MCW yakin usaha memerangi rasuah akan terus diperkuat dengan sokongan kepada inisiatif-inisiatif reformasi seperti itu.

Tegasnya, MCW menyeru semua pihak dalam perkhidmatan awam untuk bekerjasama bagi memastikan pelaksanaan pusingan kerja dijalankan dengan telus, adil dan berkesan.

"Dengan langkah tegas seperti ini, MCW percaya Malaysia berada di landasan yang betul untuk memperkukuh integriti perkhidmatan awam dan melahirkan sebuah pentadbiran yang bebas daripada rasuah," katanya.