TIGA kelab Liga Super diberi amaran terakhir sehingga 25 Oktober depan untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain bagi mengelak dikenakan hukuman lebih berat.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi peringatan itu dalam satu kenyataan media pada Jumaat tanpa menamakan tiga kelab tersebut.
Badan bebas Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB) telah selesai melakukan pemeriksaan terhadap laporan kewangan fasa kedua yang diserahkan oleh semua kelab Liga Super.
Kenyataan itu menyebut berdasarkan pemeriksaan dokumentasi yang diserahkan oleh kesemua kelab Liga Super, didapati bahawa 10 kelab telah berjaya menyerahkan laporan kewangan fasa kedua FFP dengan lengkap.
Bagaimanapun kata kenyataan tersebut tiga kelab pula tidak berjaya dalam proses melengkapkan laporan kewangan itu disebabkan mempunyai tunggakan gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Pekerja dan Sosial (Perkeso) dan EIS.
Justeru tambah kenyataan itu, sekatan perpindahan pemain sebelum jendela kedua perpindahan pemain musim 2024-2025 telah dikenakan ke atas kelab-kelab terlibat.
"Namun selepas 30 hari sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua perpindahan pemain musim 2024/25 dikenakan kepada tiga kelab tersebut, pihak MFL FFP masih belum menerima sebarang penyelesaian terhadap tunggakan itu atau mendapat persetujuan bersama kedua-dua pihak dan menghantar bukti kepada pihak FIB FFP.
"Maka pihak FIB FFP telah menjatuhkan denda dengan serta merta sebanyak RM 15,000 kepada kelab-kelab tersebut. Oleh yang demikian, tiga kelab ini perlu menghantar bukti resit bayaran atau pelan pembayaran ansuran untuk tunggakan bayaran gaji dan agensi kerajaan (KWSP, LHDN, Perkeso dan SIP) dalam masa tempoh 30 hari selewatnya sebelum atau pada 25 Oktober 2024.
"Kegagalan, kengganan dan/atau kecuaian tiga kelab ini untuk berbuat demikian seperti yang ditetapkan di atas maka perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa FIB bagi tindakan selanjutnya," kata kenyataan itu.
Berdasarkan situasi semasa, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) adalah dua kelab yang dihalang mengambil pemain baharu pada jendela perpindahan kedua baru-baru ini.
Satu lagi pasukan difahamkan berpangkalan di Pantai Timur.