183 keluarga terima bantuan banjir daripada MAINPP

Iklan
Mohamad (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan wang tunai kepada salah seorang penerima Bantuan Agihan Khas Zakat MAINPP.

SUNGAI DUA - Seramai 183 keluarga yang terlibat dalam bencana banjir di Seberang Perai pada 18 September lalu menerima Bantuan Agihan Khas Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada Jumaat.

Sebanyak RM500 diberikan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM91,500.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, MAINPP berpandangan bahawa sumbangan yang ditetapkan itu adalah bersesuaian dengan apa yang disebut dalam kaedah fiqh iaitu setiap darurat ditentukan dengan kadarnya.

Oleh itu kata Mohamad, meletakkan mangsa banjir sebagai penerima sumbangan zakat adalah sebagai satu langkah supaya kehidupan mereka terbela akibat bencana yang melanda diri, keluarga dan kehidupan mereka.

Iklan

"Skim Agihan Khas Bencana Alam yang diperkenalkan oleh MAINPP adalah bagi membantu masyarakat Islam khususnya di Pulau Pinang yang diuji oleh ALLAH SWT dengan ujian dan bencana.

"Oleh itu, pada hari ini, kita menyerahkan bantuan kepada 183 keluarga iaitu wang tunai RM500 kepada KIR yang terlibat dalam bencana yang melanda pada 18 September lalu," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sumbangan Zakat Kepada Mamgsa Banjir MAINPP di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam di sini pada Jumaat.

Iklan

Tambah beliau, Bantuan Agihan Khas Zakat itu diharap dapat membantu mangsa-mangsa yang terjejas untuk kembali meneruskan kehidupan seperti sediakala.

Sementara itu, penerima bantuan, Hairool Samsudin,39, berkata, dia bersyukur kepada ALLAH SWT kerana dipilih sebagai penerima bantuan yang mana, ia sedikti sebanyak meringankan beban yang ditanggung akibat daripada bencana itu.

Dia yang bekerja sebagai operator kilang berkata, wang tersebut akan digunakan untuk membeli barangan kecil yang rosak akibat ditenggelami air.

"Alhamdulillah, dengan bantuan wang tunai ini, ringan sikit beban saya. Banyak juga barang yang saya tak sempat selamatkan sebab air masuk sangat cepat.

"Sebelum ini memang selalu banjir sebab belakang rumah saya ada sungai tetapi (air) tak masuk rumah. Kali ini hujan sangat lebat, air masuk laju sehingga paras peha," katanya.

Pekerja kilang, Majdi Mohamed, 36 berkata, dia terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara selama empat hari selepas rumahnya dimasuki air.

"Syukur dan terima kasih kepada MAINPP kerana memberi sumbangan kepada kami mangsa banjir. Keprihatinan pihak MAINPP amat saya hargai. Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban saya.

"Wang tunai RM500 ini saya akan guna untuk membeli keperluan makanan seperti beras, gula, tepung dan beberapa barangan lain lagi," katanya.

Maziah Rashid, 49 yang bekerja kampung berkata, dia amat bersyukur kerana dipilih untuk menerima wang bantuan berjumlah RM500.

"Walaupun bagi orang lain, wang RM500 ini kecil, tetapi bagi saya, nilainya amat besar. Bagaimanapun, bukan nilai wang yang menjadi keutamaan, tetapi keprihatinan MAINPP itu amat dihargai.

"Wang ini saya akan beli makanan dan bercadang nak tukar tikar getah kerana sudah rosak ditenggelami air," tambahnya.