PRK Mahkota: Syed Hussien rayu pengundi pulang, terjemah sokongan dalam peti undi

Iklan
Syed Hussien beramah mesra bersama jemaah selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al Ikram, Taman Seri Kluang. Foto Bernama

KLUANG - Calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah sekali lagi merayu supaya pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, pulang mengundi esok.

Beliau berkata, sokongan pengundi perlu diterjemahkan dalam kotak undi, bagi membolehkan usaha membina masa hadapan yang lebih baik kepada seluruh warga Mahkota dapat dilaksanakan, menerusi pentadbiran kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

"Kita sudah menyantuni lebih daripada jumlah majoriti pengundi di sini, daripada pelbagai lapisan masyarakat dan tempat, yang kita dengar dan ambil hasrat serta cita-cita mereka.

"Alhamdulillah, sepanjang kempen saya nampak semangat keluarga besar Mahkota. Semangat kepelbagaian kaum dan agama untuk sama-sama harmoni dan ini yang perlu kita teruskan,” katanya semasa ditemui pada Jumaat.

Iklan

Ditanya mengenai perbuatan pembangkang yang cuba menjatuhkan reputasinya dengan dakwaan kes jenayah, Syed Hussien berkata, perkara itu tidak benar dan ia tidak menjejaskan momentum kempen.

"Kebajikan rakyat perlu terus menjadi keutamaan dan itu yang akan saya teruskan selepas ini,” katanya.

Iklan

Dakwaan itu juga telah dinafikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku semasa Syed Hussien berusia 20-an itu, iaitu beliau cuba membantu orang buta yang diganggu dan dipukul sekumpulan lelaki.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh semalam juga mengesahkan, nama Syed Hussien tidak terdapat dalam rekod pendaftaran penjenayah.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos. - Bernama