Sarawak pemegang saham terbesar Affin Bank

Iklan
Sarawak kini muncul sebagai pemegang saham terbesar dalam Affin Bank.

KERAJAAN Negeri Sarawak melalui anak syarikat milik penuhnya, SG Assetfin Holdings Sdn Bhd, telah memuktamadkan perjanjian pembelian saham (SPA) Affin Bank daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd.

Sehubungan itu, Sarawak kini muncul sebagai pemegang saham terbesar dalam Affin Bank apabila ia meningkatkan kepentingannya daripada 4.81 peratus sebelum ini kepada 31.25 peratus.

Iklan
Iklan

Dalam satu kenyataan hari ini, Affin Bank Bhd berkata, langkah strategik itu dijangka mempercepatkan pertumbuhannya dan mengukuhkan status bank itu sebagai institusi kewangan terkemuka dalam industri perbankan.

Sementera itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan kerajaan negeri untuk meningkatkan pegangannya dalam Affin didorong oleh keperluan untuk mewujudkan platform kewangan dan sinergi dengan bank yang kukuh dan cekap, yang mana ia akan menjadi penting kepada Sarawak bagi meningkatkan potensi ekonominya yang besar.

Iklan

"Dengan memanfaatkan rangkaian dan kepakaran Affin yang luas, kami akan bekerjasama untuk membuka peluang-peluang baharu, memudahkan akses kepada modal dan mencetuskan semangat keusahawanan dalam kalangan rakyat kita.

Abang Johari juga menegaskan bahawa bank yang memberi sokongan kepada kerajaan negeri berupaya memainkan peranan penting dalam mencapai objektif Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030.

Iklan

"Affin Bank boleh menjadi salah satu pemangkin kritikal untuk menyokong Sarawak dalam memenuhi agenda ekonominya yang mampan," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, keputusan strategik itu dijangka memberi pulangan positif yang besar dalam bentuk dividen yang kompetitif dan mampan kepada pencarum LTAT yang merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, bank itu terus komited untuk mengukuhkan kedudukannya.

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan semua pihak untuk mencapai matlamat bersama dan menyampaikan nilai yang luar biasa kepada para pemegang taruh kami,” tambahnya. - Bernama