Lawatan PM ke Pakistan akan erat hubungan dua hala, perdagangan, diplomatik

Iklan
Anwar juga dijadualkan bertemu beberapa tokoh industri di Pakistan.

KUALA LUMPUR - Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan akan membawa banyak manfaat dalam menjana momentum untuk meningkatkan lagi hubungan politik dan diplomatik antara kedua-dua negara.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah berkata, lawatan Anwar ke Islamabad minggu depan dari 2 hingga 4 Oktober ini juga akan mempertingkat hubungan budaya dan ekonomi antara Malaysia dan Pakistan.

Iklan
Iklan

"Kami hanya ingin saudara-saudara kami di Malaysia tahu bahawa lawatan penting ini diadakan selepas terdapat jurang selama beberapa tahun dan bahawa rakyat Pakistan tidak sabar-sabar menanti ketibaan Yang Amat Berhormat di Pakistan,” katanya pada sidang media khas di sini pada Jumaat sempena lawatan kerja Anwar ke Islamabad minggu depan.

Meskipun kedua-dua negara menikmati hubungan politik dan diplomatik yang baik, beliau berkata, kedua-dua pihak perlu terus berusaha untuk meningkatkan hubungan perdagangan dua hala yang kini berjumlah AS$1.5 bilion setahun.

Iklan

"Kita mempunyai hubungan komersial dan perdagangan yang amat baik, nilai dagangan dua hala kita ialah AS$1.5 bilion setahun. Namun ia tidak mencukupi. Saya rasa ia tidak selaras dengan tahap hubungan politik kita dan perlu dipertingkat,” katanya.

Beliau berkata, eksport utama Malaysia ke negara itu ialah minyak sawit, jentera dan produk elektrik manakala importnya dari Pakistan ialah beras, sayur-sayuran, tekstil serta kulit.

Iklan

Syed Ahsan berkata, kedua-dua negara telah memeterai perjanjian perdagangan bebas iaitu Perjanjian Perkongsian Ekonomi Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) yang ditandatangani pada 2007 namun memandang sudah lama, ia perlu disemak semula.

"Jadi kami sudah mengadakan rundingan antara MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dengan Kementerian Perdagangan Pakistan untuk menyemak semula perjanjian itu dan mengemas kini senarai.

"Mereka mempunyai Jawatankuasa Semakan bersama yang juga akan bermesyuarat tidak lama lagi dan insya-Allah, perjanjian itu akan disemak semula tidak lama lagi dan akan dibincang semasa lawatan Perdana Menteri ke Pakistan,” katanya.

Beliau juga berharap jumlah dagangan antara Pakistan dan Malaysia akan dipertingkat selepas ini dan melahirkan keyakinan bahawa lawatan Anwar ke negara Asia Selatan itu mampu membawa momentum yang diperlukan bagi memacu lebih banyak aktiviti perdagangan kedua-dua negara.

Syed Ahsan berkata, Malaysia adalah antara pelabur utama di Pakistan dan merujuk kepada syarikat kereta nasional iaitu Proton yang telah beroperasi sejak beberapa tahun lepas di negara itu selain beberapa lagi pelabur Malaysia dalam bidang teknologi maklumat serta sektor lain.

Beliau juga berharap berlaku peningkatan dalam hubungan antara rakyat kedua-dua negara dan berkata, Pakistan telah menjadi destinasi yang semakin popular kepada pelancong Malaysia yang ingin melakukan pengembaraan di kawasan pergunungan.

Justeru, beliau menggesa agar lebih banyak penerbangan terus disediakan antara bandar utama kedua-dua negara.

Syed Ahsan berkata, Malaysia bukan sahaja popular dalam kalangan pencari kerja warga Pakistan tetapi juga mendahului senarai untuk pelajar dari negara itu melanjutkan pengajian dan lebih 4,000 rakyatnya memilih negara ini sebagai destinasi pilihan untuk mereka menimba ilmu di peringkat pendidikan tinggi.

Beliau juga berkata, jumlah warga Pakistan yang berada di Malaysia kini melebihi 175,000 orang.

Lawatan kerja ke Pakistan minggu depan adalah yang pertama selepas Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Beliau mempunyai jadual pada sepanjang lawatan ke Islamabad termasuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Pakistan Asif Ali Zardari dan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Shehbaz Sharif.

Anwar juga dijadualkan bertemu beberapa tokoh industri di Pakistan. - Bernama