KOTA BHARU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan, Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor, berkata, justeru penyusunan gerak kerja berstrategi bermula lebih awal dari sekarang dalam memastikan kemenangan PKR.
Menurut beliau, antara yang dilakukan ialah mengenal pasti DUN-DUN yang perlu diberi tumpuan dan calon berpotensi melalui kajian oleh Pengarah Pilihan Raya yang dilantik bukan dari kalangan orang parti seterusnya memperkasa fungsi serta melatih 68,000 ahli PKR negeri.
"Kami tidak boleh menunggu lebih lama dan perbincangan juga akan dilakukan dengan rakan-rakan parti komponen lain berkait perkara ini.
"Penstrukturan dan gerak kerja dilakukan sekarang melalui cara baharu dan bukan konvensional seperti seminggu sebelum PRU, baru mahu turun padang perkenalkan calon atau memberikan pelbagai tawaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) PKR Kubang Kerian 2024, di Pasir Tumboh, di sini, pada Jumaat.
Mohd Suparadi juga opitimis PKR mampu menang di kesemua 14 kerusi DUN tersebut melalui strategik tepat termasuk tawaran pembangunan ekonomi dan sosial di setiap daerah di negeri berkenaan.
"Misalnya, tawaran untuk membangunkan Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli sebagai hub pertanian, Pasir Mas dan Rantau Panjang hub makanan dan hub pengangkutan darat bagi daerah Tanah Merah.
"Tawaran kepada perlulah berpijak di bumi nyata untuk rakyat menilai sendiri dan saya percaya orang Kelantan bijak selain yakin dinamik politik di negeri ini boleh berubah bila-bila masa jika kena pada tempatnya,” kata beliau.
Dalam pada itu, Mohd Suparadi turut menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi MPN jika Kelantan terus tidak dapat ditawan.
"Kalau tidak menawan Kelantan, saya akan letak jawatan sebagai pengerusi MPN, itu cagaran dan janji saya,” ujar beliau.