Ekonomi negara rancak, ringgit terus kukuh - Amir Hamzah

Iklan
Amir Hamzah (kanan) bersama Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin melihat pengimbas bagasi baharu JDKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

SEPANG - Ringgit dijangka terus mengukuh berdasarkan usaha berterusan kerajaan merancakkan ekonomi dan merangsang lebih banyak kemasukan pelaburan ke dalam negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, permintaan yang tinggi untuk ringgit dilihat mampu mengukuhkan ringgit pada kadar lebih baik.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, usaha sama antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menjadikan ringgit terus mengukuh.

"Apa yang kita belajar kali ini, kalau ada usaha sama antara kerajaan, GLC, GLIC dan BNM, Insya-ALLAH kita boleh stabilkan ringgit dalam apa-apa keadaan.

Iklan

"Selagi Malaysia lebih kuat daripada segi ekonomi, ringgit akan menjadi lebih mengukuh," katanya kepada media selepas majlis perasmian 40 unit mesin pengimbas bagasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini pada Jumaat.

Amir Hamzah berkata, prestasi ringgit yang terus mengukuh sejak kebelakangan ini berikutan perkembangan baik dari ekonomi negara.

Iklan

Selain itu kata beliau, peningkatan kemasukan pelaburan ke dalam negara serta pergerakan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) juga menjadikan ringgit semakin baik.

"Alhamdulillah ringgit masih mengukuh dan tengah mencari nilai imbang yang sepatutnya untuk ringgit," katanya.

Beliau berkata, pengukuhan ringgit bukan sahaja dengan dolar AS, malah dengan mata wang utama lain di rantau ini.