MELAKA - Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee hari ini menyerahkan tujuh lagi fail kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Fail yang dipercayai mengandungi bukti berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa membabitkan pemimpin politik dan pegawai kerajaan negeri diserahkan selepas hadir ke SPRM di Putrajaya.
Norhizam berkata, tujuh fail tersebut diserahkan sendiri kepada Datuk Mohd Shukri Abdull di pejabatnya pada jam 9 pagi, semalam manakala salinan fail tersebut diberikan kepada Peguam Negara, Tommy Thomas tiga jam kemudian.
"Kesemua fail tersebut sebahagiannya mengandungi bukti kes berprofil tinggi membabitkan tokoh besar politik ketika era kerajaan sebelum ini serta beberapa individu termasuk dalam kalangan pegawai kerajaan.
"Tujuan saya berbuat demikian bagi meminta SPRM menjalankan siasatan terhadap individu-individu terbabit dibuat secara telus dan berintegriti demi kepentingan rakyat Melaka,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Pada 28 September lalu, Exco berkenaan juga menyerahkan sejumlah fail yang dianggap bukti berlakunya penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan semasa pemerintahan BN di Melaka membabitkan beberapa anak syarikat milik kerajaan negeri.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Norhizam mahu semua jentera Kerajaan Melaka supaya menghormati semua Exco dan pemimpin negeri ini.
"Ia sejajar dengan seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya semua jentera kerajaan menerima sistem demokrasi dan penukaran kerajaan yang berlaku.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai dan kakitangan kerajaan yang sengaja menyukarkan dan tidak dapat memberi kerjasama sewajarnya,” katanya.