JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berdepan tentangan sengit sebelum berjaya menewaskan Kuching City FC 2-1, pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.
JDT bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak ke pintu gol pelawat dalam usaha membuka jaringan.
Namun pada peringkat awal perlawanan menyaksikan asakan-asakan daripada skuad Harimau Selatan itu dilihat sukar untuk menembusi benteng pertahanan skuad The Cats.
JDT berpeluang membuka jaringan pada minit ke-9, namun rembatan Nadmi Faiz Mansor gagal menepati sasaran biarpun penjaga gol Kuching City FC, Shahril Shaari sudah pun tertewas.
Skuad Harimau Selatan itu sekali lagi mendapat peluang menjaringkan gol pada minit ke-30, namun tandukan Jorge Obregon gagal menepati sasaran dan rembatan daripada pemain gantian, Bergson Da Silva selepas itu tersasar.
Kedua-dua pasukan dilihat terus buntu untuk menjaringkan gol dan menyaksikan keputusan 0-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua JDT hanya memerlukan hanya tiga minit untuk meledak jaringan pembukaan apabila menanduk masuk hantaran Arif Aiman pada minit ke-48.
Gol itu nyata menyemarakkan lagi semangat kesebelasan pemain skuad Harimau Selatan itu untuk mengasak untuk menambah jaringan.
Bagaimanapun, gol kedua skuad Harimau Selatan itu hanya terhasil pada minit ke-82 hasil jaringan Juan Muniz.
Namun hasil satu serangan balas, pemain gantian The Cats, Fernando Walter berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi bagi merapatkan jurang gol pada minit ke-85.
Seperti ulangan babak pertama, kedua-dua pasukan dilihat buntu untuk menambah jaringan pada penghujung perlawanan dan menyaksikan kedudukan 2-1, kekal hingga ke wisel penamat.