KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghubungi kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Uya, yang baru-baru ini bersama keluarganya diuji musibah banjir di Kedah, melalui panggilan video.
Dalam video berdurasi 90 saat yang dikongsikan di Facebook rasmi Anwar malam ini, Perdana Menteri sempat beramah mesra dengan kanak-kanak berkenaan.
"Mendoakan adik Uya dan keluarganya diberi kekuatan oleh Allah SWT saat ditimpa musibah. Nanti jika ada masa Tok Anwar akan mai lagi (datang) ke Kedah dan jumpa Uya, insya-Allah,” katanya dalam hantaran itu.
Sebelum mengakhiri perbualan, Uya sempat mengucapkan terima kasih atas panggilan yang dibuat Anwar dan menunjukkan isyarat mini love.
Sebelum ini, kanak-kanak itu dan keluarganya telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Taman Aman, Alor Setar.
Terdahulu, video yang dikongsikan di akaun TikTok @husnanawwarloksin memaparkan kanak-kanak itu meminta agar Perdana Menteri melawatnya di PPS berkenaan.
Pada 21 September lepas, Anwar turun padang meninjau tiga PPS yang menempatkan mangsa banjir di Alor Setar.
Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM13 juta untuk bantuan pascabanjir di Kedah melibatkan sumbangan, pembersihan serta baik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir. - Bernama