KLUANG - Hari ini merupakan penentu siapa yang bakal diangkat sebagai wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota apabila lebih 60,000 pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 61,397 pengundi layak mengundi di 20 pusat melibatkan 109 saluran yang akan dibuka serentak pada 8 pagi hingga 6 petang.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.
Ekoran itu, dua calon iaitu Syed Hussien Syed Abdullah, 40, mewakili Barisan Nasional (BN), dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61, berentap dalam perlawanan dua penjuru.
Hari ini Syed Hussien akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana manakala Mohamad Haizan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu.
Selepas 14 hari berkempen bermula hari penamaan calon pada 13 September lalu, dua calon yang bersaing, masing-masing dilihat lebih bersandarkan kepada aura peribadi selaku anak muda dan juga ‘orang lama’, selain sokongan kempen yang digerakkan jentera parti.
Ini kerana, sehingga hari terakhir kempen pada Jumaat, kedua-dua calon tidak meletakkan sebarang tawaran spesifik untuk masyarakat Mahkota melalui manifesto khas untuk PRK DUN Mahkota ini, meskipun Mohamad Haizan pada awalnya dilapor akan mengumumkannya.
Dalam tempoh dua minggu berkempen, beberapa isu juga telah dibangkitkan termasuk risiko protes daripada pengundi Cina yang menggoyangkan kedudukan calon BN yang sejak awal diyakini mampu mengekalkan kerusi parti itu.
Serangan ‘pecutan akhir’ yang dibuat oleh PN berhubung dakwaan Syed Hussien terkait kes jenayah 16 tahun lalu juga ‘mewarnai’ hari-hari akhir tempoh berkempen.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut dipatahkan dengan pengesahan dibuat pihak polis, bahawa tiada sebarang kes disabitkan seperti yang didakwa.
Beberapa ceramah kelompok yang menampilkan kepimpinan pusat PN juga sarat dengan isu nasional sebagai usaha menarik sokongan pengundi DUN ini.
PRK ini juga akan menentukan sejauh mana impak kempen digerakkan jentera Perpaduan termasuk penglibatan pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan, yang menekankan betapa pentingnya keputusan PRK DUN Mahkota sebagai isyarat kepada pelabur tentang kestabilan politik negara.
Sebalik kekuatan yang disandarkan kedua-dua calon, kebimbangan terhadap peratusan keluar mengundi tidak dipandang sepi, lebih-lebih lagi membabitkan pengundi luar.
Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, sendiri menyatakan kebimbangan itu kerana masih ramai pengundi luar DUN Mahkota terutama yang bekerja di Singapura tidak mengetahui tentang berlangsungnya PRK.
Justeru, tidak mustahil dengan sentimen yang dimainkan dan peratusan keluar mengundi bakal menjadi penentu kemenangan wakil rakyat yang dipilih.
Dengan kekuatan tersendiri yang dimiliki oleh kedua-dua calon, timbul persoalan sama sama ada mereka mampu menambah sokongan undi, atau berjaya menggugat majoriti.