Iran tolak campur tangan konflik Hizbullah-Israel?

Iklan
Serangan ganas rejim Zionis ke atas Konsulat Iran di Damsyik kira-kira lima bulan yang lalu.

TEHERAN - Tindakan Iran mengambil pendekatan 'berdiam diri' ketika konflik Hizbullah-Israel semakin meruncing telah mengundang resah puak konservatif di negara itu memandangkan mereka merupakan sekutu kuat gerakan yang berpusat di Lubnan tersebut.

Menerusi ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Selasa lalu, Presiden Masoud Pezeshkian mengkritik dan memberi amaran jika rejim Zionis benar-benar melancarkan perang ke atas Beirut.

Iklan
Iklan

Beliau yang dilantik pada Julai lalu hanya menggunakan 'nada lebih lembut' dan cuba mengelakkan sebarang perang retorik seperti digunakan pemimpin terdahulu terhadap seteru lama Teheran berkenaan.

"Kami mencari keamanan untuk semua dan tiada niat mahu terlibat konflik dengan mana-mana negara,” katanya.

Iklan

Pezeshkian turut menzahirkan kerelaan kepimpinan beliau untuk menyambung semula rundingan nuklear pada 2015 bersama kuasa Barat.

Beberapa pegawai kanan dan komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) juga tidak lagi selantang sebelum ini apabila menyatakan kesediaan mereka untuk melancarkan serangan menuntut bela atas kekejaman rejim Zionis terhadap sekutu utamanya, Hamas dan Hizbullah.

Iklan

Teheran mengambil masa selama kurang dua minggu untuk melancarkan serangan balas ke atas Tel Aviv dan Bukit Golan pada April lalu.

Rangkaian media Barat mendakwa Teheran membiayai dan mempersenjatai kedua-dua gerakan tersebut malah Hizbullah juga dianggap sebagai 'barisan pertahanan hadapan' buat Iran untuk menghalang serangan secara terus dilancarkan Tel Aviv.

Teheran menjadi tulang belakang terhadap transformasi Hizbullah yang kini muncul sebagai kuasa paling kuat di Beirut sejak IRGC membantu penubuhannya pada 1980-an.

Terdapat laporan yang mengaitkan Iran sebagai pembekal utama senjata termasuk misil canggih dan dron kepada Hizbullah untuk menentang Israel.

Amerika Syarikat (AS) juga mendakwa Teheran menyalurkan dana sebanyak AS$700 juta (RM3.27 bilion) setahun kepada gerakan berkenaan.

Persepsi negatif

Pada minggu lalu, Duta Iran ke Lubnan, Mojtaba Amani dilaporkan cedera dalam kejadian letupan alat kelui yang menyasarkan pejuang Hizbullah dan telah meragut sekurang-kurangnya 39 nyawa.

Teheran menuding jari menyalahkan Tel Aviv, namun ia tidak membuat sebarang pengumuman untuk melancarkan serangan balas.

Ia agak berbeza ketika insiden Konsulat Iran di Damsyik dibedil rejim Zionis pada April lalu yang telah mengorbankan lapan anggota IRGC termasuk komander kanan mereka.

Ketika itu, Teheran mengambil masa kurang dua minggu untuk bertindak balas ke atas musuh mereka.

Situasi sama juga berlaku ketika Teheran berikrar mahu menuntut bela atas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di ibu kota pada akhir Julai lalu.

Tetapi, hingga kini, tiada tindakan serupa diambil ke atas Israel yang semakin menggila berperang.

Beberapa pakar percaya keadaan yang semakin tegang di rantau Asia Barat telah menyebabkan Teheran berada dalam dilema.

Ia mungkin bimbang jika keputusan menyerang Tel Aviv berpotensi mencetuskan respons sekutu kuatnya, Washington yang telah mengerahkan pasukan tambahan ke rantau berkenaan, sekali gus mengheret negara itu terjerumus ke dalam konflik lebih meluas.

Teheran dipercayai enggan mengambil sebarang risiko di bawah pentadbiran baharu kerana ia sedang berusaha memulihkan hubungan dengan Barat dan cuba membebaskan negara itu daripada siri sekatan ketat yang telah melumpuhkan pertumbuhan ekonomi.

Keputusan Teheran yang menolak campur tangan dalam konflik Hizbullah-Israel bagaimanapun dikhuatiri bakal memberi persepsi negatif kepada gerakan lain di bawah Paksi Penentangan anti-Israel di Asia Barat bahawa ia lebih mengutamakan kepentingan sendiri meskipun situasi semakin meruncing.

Sikap tidak acuh sedemikian berisiko melemahkan pengaruh Iran dan pakatan di bawah gerakan Paksi Penentangan yang selama ini berikrar menghapuskan rejim Zionis. - Agensi