Lonjakan nilai ringgit beri sinar baharu kepada ekonomi negara

Iklan
Ringgit dilaporkan melonjak ke paras 4.12 berbanding dolar AS dan muncul sebagai antara mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di dunia.

PENGUKUHAN nilai ringgit yang dilaporkan melonjak naik berturut-turut sejak kebelakangan ini memberi sinar baharu kepada kerajaan untuk terus meningkat dan menstabilkan taraf ekonomi negara.

Peningkatan nilai ringgit dilihat mampu menurunkan harga barang import yang akan membantu mengurangkan inflasi dan meningkatkan daya beli rakyat.

Iklan
Iklan

Selain itu, ia juga mengukuhkan keyakinan pelabur sama ada domestik atau asing yang mampu mendorong kepada lebih banyak pelaburan dalam negara.

Pelaburan asing bakal meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan menambah modal dan kapasiti pengeluaran selain mencipta peluang pekerjaan baru bagi membantu mengurangkan pengangguran.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan, ringgit dilaporkan melonjak ke paras 4.12 berbanding dolar AS dan muncul sebagai antara mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di dunia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit mengukuh sebanyak 1.6 peratus minggu ke minggu berbanding dolar AS.

Iklan

Unit tempatan meningkat kepada 4.1230/1280 daripada paras penutup 4.1430/1485, meningkat 11.36 peratus setakat ini bagi tahun ini.

Mohd Afzanizam berkata, unit tempatan itu mendapat sokongan yang baik, terutamanya semasa sesi pagi apabila dolar-ringgit mencecah RM4.1175 pada awal dagangan.

Beliau juga berkata, bagi asas mingguan ringgit turut meningkat berbanding euro, pound British, yen Jepun dan dolar Singapura masing-masing sebanyak 1.9 peratus, 1.2 peratus, 1.7 peratus dan 1.2 peratus.

Selain itu, Mohd Afzanizam memaklumkan, lebih banyak bank pelaburan telah menyemak semula penarafan mereka terhadap Malaysia daripada 'underweight' kepada 'neutral', mencerminkan tinjauan lebih positif terhadap ekonomi negara dan, seterusnya, potensi ringgit lebih mengukuh pada masa depan.

BMI Country Risk & Industry Research (BMI), unit Fitch Solutions, telah menyemak semula unjuran akhir 2024 bagi ringgit kepada RM4.00 berbanding dolar AS daripada RM4.55 sebelumnya, mencerminkan prestasi mantap unit tempatan pada suku ketiga 2024

Dalam jangka sederhana, BMI yakin terhadap prestasi ringgit memandangkan perbezaan hasil yang mengecil dengan AS dan prospek pertumbuhan yang agak berdaya tahan yang memberi petanda baik bagi unit tempatan.

Justeru, nilai ringgit yang lebih kuat sememangnya mampu memberi manfaat tetapi ia perlu diimbangi dengan potensi risiko kepada sektor tertentu.

Bagaimanpun, penting bagi kerajaan dan masyarakat secara keseluruhannya berusaha untuk mengekalkan nilai ringgit agar tidak jatuh terjunam pada masa akan datang.

Kesimpulannya, kerajaan perlu menjalankan dasar ekonomi bijak, mengambil langkah untuk meningkatkan daya saing, memastikan stabiliti dalam politik dan kewangan bagi mengukuhkan kedudukan nilai mata wang negara.