Roti canai gadis makin laris, terjual 1,000 keping sehari

Iklan
Nor Syazwani menunjukkan kemahirannya menebar roti canai digerai ‘Roti Canai Abah’ di Indera Mahkota Dua di sini, pada Jumaat.

KUANTAN - Tanpa diduga, rakaman aksi menebar roti canai seorang gadis yang dimuat naik di TikTok membuatkan Nor Syazwani Ab Ghani, 19, tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan terhadap menu sarapan pagi itu.

Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, jualan roti canai di gerai milik keluarganya di Indera Mahkota 2, di sini, mencecah dua kali ganda berbanding sebelumnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua ini disebabkan kuasa tular daripada pengguna media sosial selepas videonya dikongsi oleh warga maya.

"Dulu kami hanya buat sekitar 10 kilogram (kg) tepung sehari, tapi selepas video tular, alhamdulillah, saya dapat lihat sambutan luar biasa daripada pelanggan sehingga perlu menambah 30kg tepung dengan jualan mencecah hampir 1,000 keping roti sehari.

Iklan
Nor Syazwani memasak roti canai telur tempahan pelanggan digerai ‘Roti Canai Abah’ di Indera Mahkota Dua di sini, pada Jumaat.

"Kuasa tular ini sangat membantu, dan saya percaya juga rezeki daripada ALLAH. Tapi, tanpa adanya orang baik yang berkongsi video saya, mungkin saya tidak akan sampai pada tahap seperti ini. Jadi, terima kasih semua," katanya ketika ditemui Sinar Harian digerai ‘Roti Canai Abah’ di Indera Mahkota Dua di sini pada Jumaat.

Pada Jumaat lalu, tular satu video berdurasi 17 saat yang memaparkan Nor Syazwani menunjukkan kemahirannya menebar roti canai di akaun TikTok (Lilydeh).

Iklan

Rakaman itu mendapat tontonan lebih 2.6 juta di TikTok dan dikongsi secara meluas di pelbagai platform lain. Susulan itu, pelanggan datang dari serata tempat untuk merasai sendiri roti canai yang dihasilkan oleh gadis ini.

Nor Syazwani, yang mesra dipanggil Nadia oleh ahli keluarga, memberitahu bahawa kakaknya turut memainkan peranan penting di sebalik tabir dalam mempromosikan perniagaan mereka di TikTok.

Tambah Nor Syazwani, kuasa tular ini bukan sahaja meningkatkan jualan, tetapi juga membuka pintu rezeki yang tidak dijangka.

Nor Syazwani (dua dari kiri) bersama ibu dan adik-beradik berniaga roti canai dan menu sarapan pagi di gerai ‘Roti Canai Abah’ di Indera Mahkota Dua di sini

Jelasnya lagi, tanpa sokongan daripada adik-beradik lain, perniagaan yang diusahakan secara bersama oleh ahli keluarga tidak mungkin berjaya.

"Kakak saya suka bekerja di belakang tadbir, dialah yang mula-mula memberi idea untuk buat video," jelasnya.

Berkongsi kisahnya, Nor Syazwani mengakui membesar dalam keluarga yang berniaga dan ayahnya, Ab Ghani Ibrahim, 68, merupakan seorang penjual roti canai di Pasir Gudang, Johor, sebelum menetap di daerah ini.

Gadis, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berkata, dia mula belajar menebar roti canai sejak usia 12 tahun selepas melihat adik-beradiknya yang lain mempunyai kemahiran tersebut.

"Saya belajar tebar roti guna kain dulu, selepas itu abah saya minta saya tebar roti bila tiada pelanggan. Banyak kali cuba, mula-mula ada roti koyak dan terpaksa buang.

"Tapi, berkat usaha, masa umur saya 13 tahun, saya sudah mampu tebar roti dengan baik, dan alhamdulillah kini semakin mahir," luahnya dengan nada gembira.