Astro santuni golongan kurang upaya penglihatan

Iklan
Sesi tayangan Dari Mata Turun Ke Hati turut diserikan dengan kehadiran Datuk Seri Nancy Shukri dan barisan pelakon iaitu Arabella, Azri Safix, Afiq Amidon, Darien dan Qistina Khaled.

BAGI menyantuni pelanggan mereka yang juga terdiri daripada orang kurang upaya penglihatan, Astro memperkenal drama tempatan pertama menyediakan khidmat sokongan trek penerangan audio.

Fungsi utama khidmat ini adalah untuk memastikan drama Astro lebih mudah diakses oleh golongan kurang upaya penglihatan dalam mendalami setiap penceritaan yang disampaikan.

Iklan
Iklan

Sebagai permulaan, drama Dari Mata Turun Ke Hati dihasilkan bersama khidmat sokongan trek penerangan audio.

Kejayaan drama itu turut mendapat sambutan dari Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan disokong Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Iklan

Ketua ESG Astro, Foo Su Lynn berkata, di Astro kekuatan terbesar mereka ialah mempunyai capaian luas melalui penciptaan karya-karya yang menjadi topik perbualan orang ramai, selain menyumbang kesedaran positif berkenaan tanggungjawab sosial (ESG).

"Lebih dari 2,000 jam kandungan berkaitan ESG sudah dilaksana pada tahun lepas dan kami beriltizam akan melabur dengan lebih banyak pada tahun ini.

Iklan

Penyediaan khidmat trek penerangan audio ini juga selaras dengan hasrat ESG dalam menyantuni golongan kurang upaya penglihatan," katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau amat berbesar hati dapat bersama dalam program yang mencerminkan komitmen Astro dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dalam memperkasa komuniti kurang upaya penglihatan di negara kita.

"Pelancaran trek penerangan audio digital khas untuk drama Melayu tempatan merupakan satu langkah yang sangat signifikan dalam memastikan akses yang lebih inklusif kepada kandungan hiburan.

"Ini bukan sahaja membantu memperbaiki kualiti hidup golongan kurang upaya penglihatan, malah memupuk kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap cabaran yang mereka hadapi.

"Saya berharap usaha ini akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk bersama-sama menyumbang ke arah masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin," ujarnya.

Drama dengan trek penerangan audio akan dilancarkan di sooka untuk tontonan bermula 26 September dan bakal menjadi platform hiburan baru kepada lebih dari 600,000 pengguna kurang upaya penglihatan.

Antara inisiatif lain yang akan dilaksana Astro bagi menyantuni golongan kurang upaya penglihatan termasuklah, Kisah Di Sebalik Bola -Suara Kemenangan, MyFutureJob Visually Impaired Person Career Day 2024 oleh MAB, dan juga sambutan Hari Orang Buta oleh MeleTOP.