Malaysia gesa PBB ambil tindakan segera krisis Palestin, Myanmar

Iklan
Mohamad Hasan - Foto: FB Wisma Putra

NEW YORK - Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Jumaat, menggesa badan dunia itu mengambil tindakan pantas dan tegas bagi menangani krisis di Palestin dan Myanmar.

Semasa pertemuan itu, Mohamad menyatakan kebimbangan mendalam Malaysia terhadap konflik yang berterusan serta pencabulan hak asasi manusia di kedua-dua wilayah berkenaan. Beliau menyeru PBB untuk memperhebat usaha bagi memulihkan keamanan dan kestabilan, menekankan keperluan segera untuk menangani krisis kemanusiaan yang menjejaskan jutaan orang awam.

Iklan
Iklan

"Saya telah menyuarakan kebimbangan kami dan menggesa PBB mengambil tindakan drastik bagi memastikan keamanan untuk rakyat Palestin dan Myanmar," Kementerian Luar memetik beliau sebagai berkata dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pertemuan yang sama, Mohamad turut membincangkan potensi kerjasama antara Malaysia dan PBB ketika Malaysia bersiap sedia untuk menjadi pengerusi ASEAN pada 2025.

Iklan

Pertemuan itu berlaku di luar sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), di mana pemimpin dunia mengambil bahagian dalam Debat Umum dari 24 hingga 30 September.

Mohamad berada di New York mewakili Malaysia di UNGA, menandakan kehadiran pertamanya sejak dilantik sebagai Menteri Luar pada Disember 2023.

Iklan

Beliau dijadualkan menyampaikan kenyataan semasa Debat Umum Peringkat Tinggi pada Sabtu (Ahad di Malaysia) kira-kira 2 petang waktu tempatan. - Bernama