KLUANG - Seorang ibu muda yang masih berpantang masuk hari ke-30 sanggup membawa bayi perempuannya untuk menunaikan tanggungjawab membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, Taman Suria, di sini pada Sabtu.
Nur Syafiqah Azani, 19, yang baharu melahirkan anak sulungnya, Nur Syafaa Atiya Mohd Riyadh Irfan, tiba di pusat mengundi pada jam 8.45 pagi.
"Saya tinggal di Tampoi, Johor Bahru, pulang ke sini seawal jam 4 pagi bersama suami saya yang bekerja sebagai pengurus kedai alat perkakas.
"Ini adalah kali pertama saya mengundi, jadi saya tak mahu ketinggalan untuk sama-sama datang mengundi.
"Sebenarnya saya asal Sarawak, pindah Taman Murni di sini pada tahun 2016 kerana emak saya bekerja di Hospital Kluang, saya semak pendaftar pemilih tahun lepas dan saya layak mengundi pada PRK DUN Mahkota hari ini (Sabtu),” katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Ujarnya, selepas selesai mengundi dia terus pulang ke Johor Bahru kerana suaminya akan bekerja pada syif petang.