Dua geng curi, pecah kereta tumpas

Iklan
Osman (tiga dari kanan) menunjukkan parang dan pisau yang dirampas dari Geng Hafiz Axia pada sidang akhbar di IPD Taiping semalam.

TAIPING - Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes pecah kereta dan curi motosikal dengan tertangkapnya dua kumpulan dikenali Geng Hafiz Axia dan Geng Fikri 125z minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kekerapan aduan berkaitan kejadian itu menyebabkan satu pasukan khas ditubuhkan menerusi Ops Lejang Khas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tangkapan Geng Hafiz Axia yang didalangi empat suspek termasuk seorang wanita berusia 23 hingga 33 tahun dilakukan dalam serbuan di sebuah hotel pada jam 6.30 petang, 20 Januari lalu.

"Semasa serbuan, dua lelaki bertindak melarikan diri dengan melompat dari tingkat satu hotel terbabit dan telah mengalami kecederaan. Kesemua mereka berjaya ditahan bersama 30 gram dadah jenis methamphetamine.

Iklan

"Turut dirampas getah paip yang diubahsuai bersama palam pencucuh digunakan untuk pecah cermin kereta serta parang dan pisau," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini.

Katanya, kumpulan yang aktif sejak setahun lalu menyasarkan kereta mangsa yang diparkir di kawasan masjid sekitar daerah itu.

Iklan

"Hasil siasatan mendapati suspek menjual barang berharga bagi mendapatkan bekalan dadah.

"Geng ini terlibat dalam lapan kes pecah cermin kereta membabitkan kerugian sekitar RM150,000," katanya.

Osman berkata, kejayaan kedua membabitkan tangkapan dua lelaki Geng Fikri 125z berusia 30-an yang mencuri motosikal untuk dijual atas permintaan.

"Mereka ditahan pada 28 Januari lalu dan menemui semula empat motosikal jenis Yamaha 125z dan Honda EX5 bernilai RM20,000 di kawasan semak di Kampung Benggali di sini.

"Kumpulan ini aktif Disember tahun lalu menggunakan kunci allen, playar dan pemutar skru untuk curi motosikal dan menjual dengan harga serendah RM200 bagi mendapatkan bekalan dadah," katanya.

Katanya, keenam-enam suspek dari dua geng itu dilanjutkan reman untuk siasatan mengikut 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 379 iaitu kesalahan mencuri dan Seksyen 39(a) Akta Dadah Berbahaya 1957," katanya.