LTDL 2024: 132 pelumba 'bersatu', kayuhan bermula!

Iklan
Pelumba dari Malaysia Pro Cycling membuat latihan kayuhan di sekitar Langkawi sebagai persiapan sempena perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia 2024. Foto Bernama

BAHANG kehangatan saingan perlumbaan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 kian terasa apabila kesemua 22 pasukan bertanding selesai ‘berkampung’ di Pekan Kuah di sini sejak tiga hari lepas sementara menunggu waktu kayuhan rasminya esok.

Perlumbaan jelajah berbasikal tertua Asia dengan jarak sejauh 1,190 kilometer (km) kali ini meliputi lapan peringkat tetap menarik perhatian peminat sukan tanah air serta pelumba daripada dalam dan luar negara.

Iklan
Iklan

Bagi edisi ke-28 kali ini, LTdL memperkenalkan dua peringkat perlumbaan diadakan buat julung kalinya di Sarawak membabitkan dua bandar iaitu Bintulu dan Miri yang pastinya menambah keunikan dan daya tarikan perlumbaan yang sudah cukup ikonik di rantau ini.

Pasukan Terengganu Cycling Team pada Majlis Pengenalan Pasukan sempena perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia 2024 di Dataran Lang pada Jumaat.

Perlumbaan LTdL 2024 akan bermula di Langkawi untuk Peringkat 1, diikuti Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (Peringkat 3), Kuala Kubu Baru ke Bentong (Peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (Peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (Peringkat 6), Miri ke Bintulu (Peringkat 7) dan Bintulu (Peringkat 8).

Iklan

Ketiadaan pendakian mencabar kategori Hors di Genting Highlands yang kebiasaannya akan menjadi penentu juara LTdL menyaksikan peluang buat kesemua pelumba bertanding lebih menarik dan terbuka untuk perebutan juara keseluruhan (GC).

Sebanyak 24 zon pecutan dan sembilan zon pendakian tersedia akan menyaksikan kayuhan yang tetap memeritkan dalam LTdL 2024.

Iklan

Peringkat pertama (kelililing Langkawi), peringkat kedua (Arau ke Butterworth), peringkat kelima (Kuala Lumpur ke Melaka), peringkat keenam (Batu Pahat ke Kulai) dan peringkat kelapan (keliling Bintulu) dijangka berakhir dengan pecutan beramai-ramai pasukan yang mengandungi pakar pecut.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2024, Emir Abdul Jalal berkata, beliau menjangkakan saingan sengit bakal ditampilkan pelumba dengan strategi perlumbaan akan tertumpu kepada pakar pecut dan pelumba all-rounder.

"Macam tahun lepas, kalau kita nak ramal juara keseluruhan kita tengok siapa yang tawan laluan Genting Highlands. Sebab jarak antara tempat pertama dan kedua itu selalunya besar.

"Walaupun tahun ini kita ada laluan di Cameron Highlands, tetapi pelumba naik ikut Simpang Pulai dan jalannya lebih landai dan jarak masa tidak besar berbanding kalau naik ikut Tapah,” katanya.

Edisi kali ini tampil dengan tiga pasukan Jelajah Dunia (WorldTeam), membabitkan EF Education Easypost dari Amerika Syarikat, Astana Qazaqstan dari Kazakhstan dan DSM Firmenich PostNL dari Belanda.

Malaysia mempertaruhkan tiga pasukan membabitkan skuad kebangsaan, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) dengan keseluruhan 16 pelumba negara beroleh peluang bersaing dengan pelumba-pelumba handalan dunia.

Ketua jurulatih skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan Mohd Yusof Nasir pula menjangkakan peringkat ketiga, empat dan lima bakal menjadi cabaran paling sukar skuadnya yang dalam misi merebut pasukan terbaik Asia pada kempen LTdL kali ini. - Bernama