PELUMBA Malaysia Pro Cycling (MPC) diingatkan supaya berwaspada dengan muslihat yang boleh dilakukan pelumba lain di 20 kilometer (km) terakhir pada aksi peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 di pulau legenda itu pada Ahad.
Pengarah Sukan MPC, Sayuti Zahit berkata, jarak 20km itu berisiko berlaku kejutan dan pemecahan kumpulan kecil sekiranya tidak fokus ketika perlumbaan.
"Kita tengok 20km terakhir itu agak 'tricky' juga di kawasan Bukit Maluk itu.
"Kalau orang tak buat pemantauan dulu di jalan itu, mungkin ada peluang boleh berlaku pemecahan kecil.
"Ia kerana kawasan di situ banyak bukit dan boleh turun laju terus ke kawasan penamat. Kita kena ingatkan pelumba untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya ketika ditemui di Langkawi.
Dalam pada itu, beliau turut meletakkan sasaran tinggi pada peringkat pertama itu termasuk untuk berada dalam kelompok tiga pelumba terbaik.
"Kita cuba nak dapatkan peringkat pertama untuk Asia dan kalau bonus podium. Kalau strategi itu menjadi, kita cuba dapatkan KOM (jersi polka dot) juga.
"Saya rasa tidak ada masalah untuk pelumba memberikan keputusan yang baik berdasarkan pencapaian ditunjukkan sebelum ini," katanya.
Untuk edisi kali ini, MPC mempertaruhkan pelumba Izzat Hilmi Abdul Jalil, Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zawawi Azman, Syawal Mazlin, Zulfikri Zulkifli dan Fahmi Khairul untuk mencabar saingan LTdL edisi ke-28.