Restoran di Terengganu sedia GRO warga asing diserbu

Iklan
JIM Terengganu menahan 17 wanita warga asing selain memeriksa 52 individu termasuk pelanggan di pusat hiburan itu ketika serbuan dijalankan pada Khamis.

KUALA TERENGGANU - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan menyita dan membatalkan lesen sebuah restoran yang dikesan turut beroperasi sebagai pusat hiburan dengan menggunakan khidmat layanan wanita (GRO) warga asing.

Tindakan premis berkenaan yang cuba mengaburi mata pihak berkuasa terbongkar apabila ia diserbu Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu, pada Khamis.

Iklan
Iklan

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, lesen perniagaan yang diberikan kepada premis tersebut untuk operasi restoran sahaja namun ia telah disalahgunakan bagi kegiatan lain.

"Saya memandang serius isu-isu melibatkan akhlak, pelanggaran kepada peraturan dan undang-undang yang kita kuatkuasakan.

Iklan
Rosli

"Saya sendiri mendapat maklumat berkenaan kegiatan itu melalui media sosial dan telah membuat siasatan.

"Jadi kita akan ambil tindakan ke atas lesen mereka mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Program Pembersihan Mega Sempena World Clean Up Day 2024 di Dataran Batu Buruk, di sini pada Sabtu.

Menurut Rosli, jika sabit kesalahan premis tersebut berdepan hukuman denda sebanyak RM50,000.

Katanya, pada awal Ogos lalu, pihaknya telah mengambil tindakan ke atas sebuah pusat refleksologi di sini selepas mengesan berlaku pelanggaran ke atas syarat lesen yang diberikan.

Sebelum ini media melaporkan seramai 17 wanita warga Thailand ditahan dalam Ops Gegar oleh JIM Terengganu.

Timbalan Pengarah JIM Terengganu (Kawalan) Mat Amin Hassan berkata, wanita berusia lingkungan 19 hingga 33 tahun itu ditahan di sebuah restoran yang dipercayai turut beroperasi sebagai pusat hiburan.

Katanya, operasi bermula 8 malam itu dijalankan susulan aduan orang awam yang curiga dengan kehadiran ramai wanita warga asing yang dipercayai dijadikan 'alat' untuk menarik pelanggan.