Selatan Lubnan mungkin jadi 'Gaza kedua' dalam konflik Israel-Iran

Iklan
Borrell bercakap semasa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dipanggil untuk menangani ketegangan yang semakin meningkat antara Israel dan Lubnan. Foto EPA

LONDON - Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU) Josep Borrell pada Jumaat memberi amaran serius mengenai nasib selatan Lubnan yang mungkin menjadi satu lagi Gaza akibat konfrontasi antara Israel dan Hizbullah yang disokong Iran, lapor Agensi Anadolu.

"Mungkin Selatan Lubnan juga sedang menjadi satu lagi Gaza, menjadi medan pertempuran konfrontasi antara Israel dan Iran," kata Borrell semasa ucapannya pada sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Iklan
Iklan

Menekankan konflik Israel-Iran yang semakin mendalam di Lubnan, Borrell berkata, negara itu semakin menjadi medan pertempuran dalam perjuangan serantau yang lebih luas, menyebabkan masyarakat Lubnan 'terperangkap' dalam konfrontasi berkenaan.

Borrell berkata, Lubnan mungkin tidak lama lagi akan mengikuti nasib Gaza apabila konflik Israel-Iran semakin memuncak di rantau itu.

Iklan

"Kita akan masuk ke dalam kitaran tidak berkesudahan," kata Borrell, menekankan bahawa laluan semasa konflik boleh memperdalam ketidakstabilan di seluruh rantau itu.

Bercakap mengenai konflik berterusan antara Israel dan Hamas, Borrell menuding kepada ketidakupayaan masyarakat antarabangsa khususnya Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan gencatan senjata walaupun memiliki pengaruh besar di rantau itu.

Iklan

"Presiden (AS) (Joe) Biden mengumumkan beberapa minggu lalu bahawa beliau mempunyai rancangan, rancangan Israel, namun tiada persetujuan dicapai," kata Borrell, menekankan kuasa dan pengaruh AS, yang tidak berjaya membawa keamanan.

Borrell menekankan keperluan mendesak untuk menilai semula strategi perdamaian, dengan menyokong usaha segera ke arah penyelesaian dua negara, bukannya menunggu gencatan senjata yang mungkin tidak pernah berlaku.

"Jika anda mahu membina penyelesaian dua negara, jangan tunggu gencatan senjata. Mulakan usaha dari sekarang," tegas Borrell, sambil menyatakan pendekatan"menghentikan perang dahulu dan kemudian memulakan keamanan" tidak berkesan berdasarkan realiti di lapangan.

Menurut Borrell, Gaza boleh berubah menjadi huru-hara setanding dengan Somalia, yang telah dilanda ketidakamanan selama bertahun-tahun, manakala Tebing Barat berisiko menjadi Gaza kedua.

Israel telah membedil Lubnan sejak pagi Isnin, mengorbankan lebih 700 orang dan mencederakan hampir 2,200 yang lain, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Lubnan.

Kementerian itu juga berkata bahawa bilangan kematian di Lubnan sejak Oktober lepas ialah 1,540 orang manakala lebih 77,000 orang kehilangan tempat tinggal dari bahagian selatan dan timur negara itu.

Hizbullah dan Israel telah terlibat dalam konfrontasi sejak bermulanya serangan rejim Zionis ke atas Gaza, yang telah meragut lebih 41,500 nyawa kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Oktober lepas. - Bernama